Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan satu hari cuti umum tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memberi ruang kepada rakyat pulang ke kampung dan meraikan perayaan bersama keluarga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memudahkan urusan perjalanan rakyat yang dijangka pulang ke kampung dalam jumlah besar menjelang sambutan Aidilfitri.

Menurut beliau, cuti tambahan tersebut akan ditentukan berdasarkan tarikh sebenar 1 Syawal yang akan diumumkan kelak.

“Sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Jumaat, 20 Mac, maka Isnin, 23 Mac akan diisytiharkan sebagai cuti umum tambahan.

“Bagaimanapun, jika Aidilfitri disambut pada Sabtu, 21 Mac, kerajaan akan memberikan cuti tambahan pada Jumaat (20 Mac),” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan di Kota Kinabalu, hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diharap dapat memberi kelegaan kepada rakyat khususnya mereka yang merancang perjalanan jauh untuk pulang ke kampung halaman.

Menurutnya, kerajaan memahami bahawa musim perayaan sering menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya selain kesesakan di pelbagai laluan utama.

“Justeru, cuti tambahan ini diharapkan dapat membantu rakyat merancang perjalanan dengan lebih baik selain meluangkan masa bersama keluarga sempena Aidilfitri,” katanya.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka jatuh sama ada pada 20 atau 21 Mac, bergantung kepada pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal oleh pihak berkuasa agama.

Aidilfitri merupakan antara cuti umum utama negara dengan dua hari kelepasan am yang diraikan oleh umat Islam di seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast