MELAKA – Tuduhan menjadi punca seorang remaja ditangkap polis atas kes curi motosikal dipercayai menjadi pencetus pergaduhan dua kumpulan penunggang motosikal yang tular di media sosial di Tangga Batu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi di tepi Jalan Tangga Batu bersebelahan Masjid Ar-Rabbani itu turut dirakam orang awam sebelum videonya tersebar di media sosial.
Rakaman memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan menggunakan topi keledar ketika umat Islam sedang bersahur.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 24 tahun ditegur seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan menuduh mangsa menjadi punca adiknya ditahan polis kerana kes curi motosikal.
“Suspek bersama beberapa rakannya kemudian mengepung mangsa sebelum memukulnya di bahu kanan menggunakan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, rakan suspek turut mengejar mangsa dan menghayun topi keledar ke arahnya sebelum salah seorang daripada mereka memukul kepalanya menggunakan sebatang kayu.
“Kejadian itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
“Kesemua individu yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkenaan dianggarkan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
“Namun, polis berjaya mengenal pasti kira-kira lima individu yang benar-benar terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut,” katanya.

Dzulkhairi berkata, rakaman kejadian dipercayai dimuat naik di Facebook menerusi akaun “bestfoodtravelmalacca”, namun individu yang merakam video tersebut masih belum dikenal pasti.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata,” tambahnya.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan dua klip video tular memaparkan dua kumpulan penunggang motosikal bergaduh di tepi jalan di kawasan Paya Luboh, Tangga Batu dengan menggunakan topi keledar sebagai senjata ketika waktu sahur kira-kira pukul 4 pagi tadi. – MalaysiaGazette
















