PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan warga asing boleh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan tanpa membuat bayaran seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian memandang serius dakwaan tersebut namun kesahihannya masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurutnya, KKM perlu meneliti perkara itu secara menyeluruh termasuk sekiranya pendedahan tersebut dibuat oleh pemberi maklumat.
“Kami belum dapat mengenal pasti kesahihan laporan itu, tetapi bagi saya perkara ini mustahak untuk disiasat dengan lebih rapi kerana kita perlu menghormati maklumat yang diterima.
“Dalam masa sama, pemberi maklumat juga perlu dilindungi,” katanya selepas hadir program ‘Kembara Beraya Bersama Cik Era dan Pelancaran Cik Era (AI assistant di portal JomQuit KKM’ di sini.
Warga asing yang mengaku tiada pasport didakwa diberi rawatan percuma dengan hanya mengisi Lampiran A.
Dengan mengisi Lampiran A, netizen mendakwa warga asing boleh mendapat rawatan percuma berbanding perlu membayar RM2,800.
Lantaran itu, warga maya mencadangkan supaya KKM meletakkan pegawai imigresen di hospital-hospital kerajaan bagi menangani isu ini.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menegaskan, semua pesakit warga asing diwajibkan membuat bayaran deposit sebelum dimasukkan ke wad di hospital kerajaan.
Menurut beliau, kadar deposit bagi rawatan perubatan biasa di wad kelas tiga adalah RM1,400 manakala bagi kes pembedahan termasuk prosedur seperti pembedahan caesarean ialah RM2,800.
“Bayaran deposit ini diminta sebelum pendaftaran kemasukan ke wad dibuat dan ini adalah prosedur operasi standard yang kita tidak kompromi,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) hanya diberikan diskaun sebanyak 50 peratus daripada kadar deposit tersebut.
Dalam masa sama, katanya pengecualian deposit hanya diberikan kepada warga asing yang mempunyai perlindungan insurans kesihatan seperti Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) atau skim insurans perubatan pelarian.
Secara ringkasnya, SPIKPA merupakan skim insurans kesihatan wajib bagi pekerja asing di Malaysia yang melindungi kos rawatan kemasukan ke hospital kerajaan, namun ia tidak bermaksud rawatan diberikan secara percuma sepenuhnya kerana sebarang kos yang melebihi had perlindungan masih perlu dijelaskan.
Sementara itu, Dr Dzulkefly menjelaskan terdapat prosedur khas dikenali sebagai Lampiran A yang hanya digunakan bagi kes kecemasan melibatkan situasi mengancam nyawa.
Menurutnya, prosedur tersebut membolehkan pesakit menerima rawatan segera di Jabatan Kecemasan dan Trauma tanpa menunggu bayaran deposit bagi tujuan resusitasi serta menstabilkan keadaan pesakit.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Lampiran A hanya memberi penangguhan bayaran dan bukannya pengecualian daripada bayaran rawatan.
“Borang Lampiran A hanya memberikan penangguhan bayaran deposit supaya rawatan kecemasan dapat diberikan segera bagi menyelamatkan nyawa pesakit.Selepas pesakit stabil, proses pembayaran akan tetap diteruskan,” ujarnya.
Tambah beliau, amalan itu dilaksanakan di semua fasiliti kesihatan dan pusat trauma KKM di seluruh negara.
Sehubungan itu, Dr Dzulkefly berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan serta pengurusan tertinggi kementerian meneliti laporan yang tular itu dan perbincangan lanjut akan diadakan bagi memastikan fakta sebenar diperoleh. -MalaysiaGazette
















