Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad (tiga dari kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris (tiga dari kiri), bertukar dokumen MoU dalam Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB, Bangsar, Kuala Lumpur pada 9 Mac 2026. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Kanan Strategi, Kawal Selia dan Kelestarian TNB, Datuk Ir. Muhamad Nazri Pazil (dua dari kanan); Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Kamal Arifin A. Rahman (paling kanan); Naib Presiden Eksekutif TM One, Shanti Jusnita Johari (paling kiri); dan Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) memeterai kerjasama strategik bagi memperkukuh pembangunan solusi tenaga hijau serta membangunkan infrastruktur tenaga dan telekomunikasi yang lebih pintar, mampan dan saling berhubung di seluruh negara.

Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) pada 9 Mac lalu, yang menggabungkan kepakaran tenaga hijau dan digital kedua-dua syarikat, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta agenda transformasi digital negara.

Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua syarikat akan memberi tumpuan kepada penyelesaian tenaga mampan, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memberikan manfaat langsung kepada pelanggan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Shamsul Ahmad berkata, sebagai pelaksanaan awal kerjasama itu, pihaknya sedang menilai potensi pemasangan sistem solar di sehingga 150 premis TM selain menyasarkan peluasan pemasangan kepada lebih banyak kediaman pelanggan Unifi Home setiap tahun.

CEO TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul bin Ahmad

Menurut beliau, melalui penyelesaian solar oleh GSPARX, pakej sistem solar akan terus ditambah baik bagi memberikan nilai tambah kepada pengguna, selain merancang peningkatan rangkaian stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV).

“Dengan pertambahan stesen pengecasan, pengguna EV mempunyai lebih banyak lokasi untuk mengecas sekali gus memberikan kemudahan dan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

“TNB juga komited menyokong NETR bagi mempertingkat penggunaan tenaga boleh baharu serta memperkukuh agenda peralihan negara ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama antara TM dan TNB mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem tenaga serta digital negara secara mampan dan bersedia untuk masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris.

Menurut beliau, gabungan kepimpinan TNB dalam tenaga boleh diperbaharui bersama kekuatan TM dalam infrastruktur digital dan kesalinghubungan akan mewujudkan nilai kepada kedua-dua organisasi.

“Selaras dengan aspirasi Digital Powerhouse 2030, kerjasama ini mencerminkan usaha TM dalam memperkasa transformasi digital merentasi sektor utama negara,” katanya.

Kerjasama TNB dan TM itu turut memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu penyelesaian tenaga lestari, pemerkasaan teknologi digital dan penyumberan ICT secara strategik.

Di bawah inisiatif tenaga lestari, TNB melalui GSPARX serta rangkaian pengecas EV di bawah jenama TNB Electron akan melaksanakan pemasangan solar di bangunan, penyelesaian solar secara pakej serta memperluas rangkaian pengecas EV dengan memanfaatkan teknologi digital bagi pengurusan tenaga yang lebih cekap.

Dalam aspek teknologi digital pula, kedua-dua syarikat akan meneroka kerjasama dalam inovasi digital dan AI bagi meningkatkan kecekapan operasi, pengalaman pelanggan serta membangunkan ekosistem digital yang lebih mampan.

Bagi penyumberan ICT secara strategik, TNB dan TM akan menilai kaedah penyumberan perkhidmatan sedia ada secara lebih tersusun termasuk penjajaran harga yang lebih kompetitif bagi memastikan rantaian bekalan lebih kukuh serta penjimatan kos jangka panjang.

Melalui kerjasama itu juga, pelanggan berpotensi menikmati pengurangan kos operasi, kemudahan pengecasan EV di lokasi terpilih serta penggunaan sistem digital pintar dan analitik berasaskan AI untuk memantau penggunaan tenaga, mengesan gangguan lebih awal dan mempercepat pemulihan bekalan.

Sehingga 31 Disember 2025, GSPARX yang ditubuhkan pada Januari 2018 telah memperoleh lebih daripada 530 megawatt (MW) projek solar bumbung, sekali gus menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di lebih 3,000 kediaman dan premis komersial.

Dalam masa sama, TNB telah memasang kira-kira 256 stesen pengecas EV di seluruh negara melalui TNB Electron, selain menyediakan fasiliti grid serta sokongan elektrik bagi operasi pengecasan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast