KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil peserta Malaysia yang menyertai pertandingan Miss Equality World 2026 di Thailand, susulan penglibatannya yang mencetuskan keresahan awam.
Ketua Pengarah Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menegaskan, Jakim dan pihak berkuasa agama Islam negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang bertujuan menormalisasikan perlakuan berkenaan.
Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri dan agensi berkaitan bagi mengambil tindakan terhadap individu berkenaan berdasarkan undang-undang serta peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Menerusi kenyataan hari ini, Sirajuddin menegaskan, penglibatan peserta Malaysia dalam pertandingan berkenaan amat mendukacitakan selain menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Tegas beliau lagi, perlakuan berkenaan jelas bertentangan dengan nilai agama dan fitrah manusia, selain bercanggah dengan perundangan negara.
Terdahulu, penyertaan peserta dari Malaysia dalam Miss Equality World 2026 di Thailand pada 30 Ogos lalu tular di media sosial. – MalaysiaGazzette
















