Kepimpinan AMK Johor selepas bermesyuarat di Tangkak, semalam.

TANGKAK – Pilihan raya umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka jika diadakan serentak boleh menjimatkan kos sehingga RM142 juta.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, berdasarkan rekod kos pilihan raya lalu, PRU-15 di peringkat Persekutuan menelan belanja sekitar RM1.01 bilion.

Katanya, PRN Johor 2022 pula menelan kos sekitar RM96 juta sementara PRN Melaka pada 2021 sekitar RM46 juta.

“Ini bermakna jika ketiga-tiganya diadakan secara berasingan, jumlah kos boleh mencecah sekitar RM1.152 bilion. Jika dibuat secara serentak, negara berpotensi menjimatkan sekitar RM142 juta.

“Wang sebesar itu boleh digunakan untuk membina rumah rakyat, membaiki sekolah daif, menaik taraf klinik, membantu keluarga susah, atau menambah peruntukan kebajikan yang lebih memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Terdahulu AMK Johor mengadakan mesyuarat di sini bagi membincangkan hal-hal berkaitan sayap parti tersebut dan isu semasa.

Tambahnya, AMK Johor tidak mahu rakyat dibebankan untuk keluar mengundi berkali-kali dalam tempoh yang sangat dekat.

Katanya, apabila pilihan raya dibuat secara berasingan, rakyat perlu memohon cuti, mengatur perjalanan pulang, menanggung kos minyak dan tol, selain menyusun semula urusan kerja serta keluarga.

Ujarnya, jika PRU dan PRN dilangsungkan serentak, rakyat hanya perlu melalui proses itu sekali, lebih teratur dan lebih menjimatkan.

“Dalam keadaan rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup, adalah tidak wajar negara terus menanggung beban pilihan raya berasingan yang memakan belanja besar sedangkan ia boleh disusun dengan lebih cekap,” ujarnya.

Apatah lagi, tambah kenyataan itu, ketika krisis di Asia Barat semakin meruncing dan ketidaktentuan ekonomi global terus menekan harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, Malaysia tidak boleh terus berbelanja seolah-olah konflik itu tidak memberi kesan kepada negara.

“Inilah masa untuk berjimat-cermat dan mengurus wang awam dengan lebih berdisiplin. AMK Johor berpandangan bahawa pilihan raya serentak adalah langkah yang lebih bertanggungjawab dan lebih berpihak kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast