PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat dengan pelbagai pihak ke arah mewujudkan Madinatul Al-Quran yang menempatkan pusat pengajian dan institusi penyelidikan al-Quran utama di rantau ini.
Perdana Menteri berkata, projek umat Islam terbesar itu akan turut merangkumi pusat percetakan mushaf al-Quran serantau.
Menurut beliau, pihaknya akan berbincang dengan Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Dr. Abdul Latiff Mirasa ke arah merealisasikan kewujudan gedung berkenaan.
Ujar Perdana Menteri, kerajaan turut bercadang mengadakan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga universiti-universiti tempatan.
“Dalam satu dua hari ini saya akan berbincang dengan saudara Latiff. Ia satu idea yang baik oleh Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menjadikan projek umat Islam dalam dan luar negara.
“Ia bukan sahaja gedung tetapi turut melibatkan pengisian yang jauh lebih besar daripada yang direncanakan,” ujar beliau ketika berucap pada majlis peluncuran Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Nasyrul Quran di sini, hari ini.
Mushaf Malaysia MADANI merupakan sebahagian daripada program tadabbur al-Quran peringkat kebangsaan yang merupakan antara mushaf hibrid terawal di negara ini merangkumi keindahan seni khat dan seni Islam dan inovasi digital.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan kontena al-Quran wakaf di bawah Projek Wakaf satu juta al-Quran mengandungi naskhah berserta terjemahan dalam beberapa bahasa termasuk Sepanyol, Inggeris dan Perancis bagi komuniti Islam di Kanada dan Amerika Syarikat (AS).
Dalam ucapannya, Anwar berkata, keghairahan mengejar pembangunan dan teknologi baharu tidak akan bermakna jika masyarakat kekurangan nilai kemanusiaan dan akhlak.
Ujarnya, keyakinan dalam kerajaan MADANI berteraskan kepada agama dan akidah dalam usaha memartabatkan negara dari segi ekonomi dan sosial.
“Al-Quran merupakan paksi keyakinan yang menjadi petunjuk kepada umat manusia yang memberikan kita kekuatan menentukan dan menilai yang makruf dan mungkar.
“Ini tidak mungkin berlaku jika tidak ada asas pengetahuan dan tadabbur al-Quran. Sebab itu bagi saya, ini bukan sahaja satu ikhtiar, tetapi suatu yang memenuhi agenda memberi makna kepada kehidupan dan pembangunan dan keutuhan satu negara,” ujarnya.
Menurut Perdana Menteri, pertembungan ideologi tidak akan dapat dihindari, namun harus diyakini bahawa pembinaan generasi harus berlandaskan kepada paksinya. – MalaysiaGazette
















