Zamri Vinoth

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi menghadapi pertuduhan berkaitan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis sebelum ini.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes melibatkan Zamri telah didaftarkan dan dijadualkan disebut di Mahkamah Majistret Jenayah 9 pukul 9 pagi esok.

Prosiding tersebut dijangka didengar di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Terdahulu, Zamri tidak didakwa di mahkamah hari ini kerana pihak berkuasa masih belum memuktamadkan proses siasatan terhadap kes berkenaan.

Peguamnya, Haniff Khatri Abdulla ketika dihubungi memaklumkan sebarang keputusan berkaitan pertuduhan terhadap anak guamnya bergantung kepada arahan pihak pendakwaan selepas siasatan selesai sepenuhnya.

“Setakat ini, belum ada pengesahan pertuduhan. Jika ada perkembangan, saya akan maklumkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebelum ini, mesej tular di media sosial mendakwa Zamri akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini sehingga menyebabkan beberapa pengamal media menunggu di lobi kompleks mahkamah bagi mendapatkan perkembangan terkini kes tersebut.

Bagaimanapun tiada sebarang prosiding melibatkan Zamri berlangsung di mahkamah berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini memaklumkan siasatan terhadap Zamri telah selesai dijalankan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mencadangkan kes tersebut dipertimbangkan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Beliau turut mendedahkan polis mengesan Zamri bersama seorang lagi individu, Tamim Dahri dipercayai berada di selatan Thailand ketika siasatan dijalankan.

Kes tersebut dipercayai berkait dengan kenyataan yang dibuat semasa satu perhimpunan di pekarangan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu yang mencetuskan kontroversi dan beberapa laporan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast