KUALA LUMPUR – Program Tekad di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 diperkenalkan bagi mengangkat suara pelajar peringkat daerah, negeri dan kebangsaan selain memberi tumpuan utama kepada usaha mengurangkan jurang pendidikan dalam masyarakat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, misi dalam pelan pendidikan itu memberi fokus kepada isu jurang pendidikan termasuk perbezaan akses teknologi dan peluang pembelajaran yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang.
“Jurang dalam masyarakat misalnya dari sudut teknologi perlu ditangani dengan serius supaya anak-anak kita mempunyai ruang pembelajaran yang lebih baik,” katanya Ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bersama Pengamal Media Sempena Bulan Ramadan Tahun 2026 di sini hari ini.

Pada masa sama, Fadhlina menegaskan, penguasaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara tidak boleh dikompromi walaupun bahasa lain terus digalakkan untuk dipelajari dan dikembangkan.
“Penguasaan Bahasa Melayu tiada kompromi kerana ia penting untuk mengekalkan pendirian kita dalam membina negara bangsa,” jelasnya.

Fadhlina turut menegaskan bahawa pelaksanaan RPM tidak mengetepikan golongan murid berkeperluan khas termasuk kanak-kanak autisme, sebaliknya kerajaan akan memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu diberikan maklumat yang tepat bagi membantu mengenal pasti, merawat dan memahami keperluan anak-anak tersebut dengan lebih baik.
Beliau berkata, nisbah ideal bagi pendidikan khas ialah seorang guru bagi tujuh pelajar namun keadaan semasa menunjukkan jumlah pelajar sering melebihi lapan atau sembilan orang bagi setiap guru.
Sehubungan itu, kementerian merancang beberapa pendekatan termasuk penggunaan teknologi, penambahan bilik darjah serta pertambahan guru bagi memperbaiki situasi tersebut.
Dalam aspek latihan guru pula, Fadhlina menegaskan, institusi pendidikan guru akan dipersiapkan lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, inisiatif guru Munshi Bahasa turut diperkenalkan bagi memperkukuh penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar.
Beliau turut memaklumkan lima Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dipilih untuk melaksanakan projek perintis melibatkan kerjasama dengan Huawei, dengan aspek pedagogi disediakan oleh Multimedia University manakala teknologi disokong oleh syarikat tersebut.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menjadi teras penting dalam pelaksanaan RPM bagi melonjakkan pencapaian pelajar.
Katanya, sasaran komposisi pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebanyak 60:40 masih belum pernah dicapai setakat ini apabila kadar semasa hanya sekitar 52 peratus.
“Daripada jumlah itu, hanya kira-kira 13 peratus sahaja yang mengambil sains tulen kerana masih wujud stigma bahawa bidang ini sukar dipelajari, sukar untuk menyambung pengajian dan sukar mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga memberi perhatian kepada aspek gaji dan laluan kerjaya bagi menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang STEM.
Selain itu, usaha turut dilakukan bagi meningkatkan penguasaan STEM dalam kalangan pelajar sekolah agama.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menegaskan, isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang kembali diperkatakan ketika ini tidak berasas.
“Tiada angin, tiada ribut timbul isu PdPR. Padahal tiada langsung usaha mengembalikannya,” katanya sambil menambah pengalaman semasa pandemik Covid-19 menjadi pengajaran penting kepada sistem pendidikan negara. – MalaysiaGazette
















