PUTRAJAYA – Sebanyak 12,164 kesalahan menggunakan lorong kecemasan direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2023 hingga Februari lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 689 kes direkodkan hanya dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
“Kesalahan menggunakan lorong kecemasan ini dikenal pasti sebagai antara kesalahan utama yang sering berlaku khususnya ketika musim perayaan.
“Kita memandang serius kesalahan ini kerana stastik juga menunjukkan peningkatan dan pengguna jalan raya diingatkan bahawa lorong kecemasan hanya boleh digunakan bagi tujuan kecemasan sahaja,” katanya dalam sidang media pada Majlis Iftar JPJ bersama media di sini, malam tadi.

Tegas beliau, penggunaan lorong kecemasan hanya dibenarkan bagi tujuan tertentu termasuk kenderaan yang mengalami kerosakan atau laluan kenderaan penyelamat seperti ambulans.
Jelasnya, walapun terdapat beberapa lebuh raya yang mengaktifkan laluan tambahan seperti smart lane bagi mengurangkan kesesakan, namun lorong kecemasan hanya untuk kenderaan yang rosak atau kegunaan ambulans dan sebagainya.
“JPJ melalui Unit Rondaan Lebuh Raya turut akan menjalankan pemantauan sepanjang musim perayaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















