Orang awam sibuk membeli barangan basah untuk persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal disambut esok, warga kota dilihat masih membuat persiapan akhir hari ini bagi memastikan keperluan harian terutama stok bahan basah mencukupi bagi menyambut hari lebaran.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit hari ini mendapati, keadaan di pasar tidak sesak seperti hari sebelumnya untuk mendapatkan barangan keperluan selain harga barangan mentah juga masih terkawal.

Siti Zubaidah Rajab

Pengusaha santan, Siti Zubaidah Rajab yang telah berniaga lebih 20 tahun berkata, bekalan kelapa pada tahun ini  mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan yang tinggi menjelang Aidilfitri.

“Tahun ini, kelapa tiada masalah dan permintaan (pelanggan) mencukupi namun kenaikan kos sara hidup seperti minyak naik jadi orang nak berbelanja pun kurang sebab banyak yang berjimat-jimat. Kami juga mematuhi harga kawalan ditetapkan kerajaan.

“Harga kawalan adalah RM16 tapi kita tidak jual pada harga itu, kami jual ikut harga yang rendah sekitar RM10 untuk sekilogram. Untuk musim raya ini juga, ramai yang sudah beli awal iaitu tiga hari sebelum sebab bimbang raya mengejut,” katanya.

Aziz Yahya

Bagi penjual daging lembu, Aziz Yahya, 65, berkata, bekalan daging lembu juga mencukupi tahun ini untuk memenuhi permintaan pelanggan malah harga ditawarkan lebih rendah daripada harga kawalan.

“Bekalan daging pada tahun ini cukup namun dari segi harga ada sedikit persaingan dengan di luar yang mana ada jual sampai RM45 tapi kami di sini jual serendah RM38 untuk sekilogram.

“Dua hari sebelum memang ramai orang beli daging sebab mereka tidak tahu bila raya sama ada Jumaat atau Sabtu tapi hari ini orang sudah kurang sikit,” jelasnya.

Noor Zuurenn Mohd Fadzil

Bagi pengusaha daun palas, Noor Zuurenn Mohd Fadzil, 41, berkata, dia mendapati permintaan tinggi untuk daun palas dan daun kelapa malah juga meminta membeli sarung ketupat yang sudah siap dianyam.

“Tahun ini menjadi fenomena luar biasa orang membeli daun palas sebab mereka nak menganyam. Untuk bekalan juga alhamdulilah mencukupi malah daun palas memang dicari setiap kali perayaan.

“Harga kita jual juga murah, satu ikat ada tiga batang (kaki) dengan hanya RM5 sahaja dan kalau pandai menganyam boleh dapat 20 biji manakala daun kelapa pun stok dah habis sejak semalam,” katanya.

Nurhidayati Abdul Razak

Bagi pengunjung, Nurhidayati Abdul Razak, 43, pula, harga barangan yang ditawarkan untuk perayaan ini di pasar Chow Kit amat berpatutan malah stok bekalan juga mudah diperolehi.

“Saya sudah berbelanja kira-kira RM200 dan alhamdulilah tahun ini, kami tengok dari segi ikan, daging dan ayam semuanya murah dari beli di pasar raya. Contoh udang, kita boleh dapat harga RM20 hingga RM30, ayam (RM10) dan daging pula dalam RM20 ke atas,” ujarnya.

Nurul Husna Faiz

Seorang lagi pembeli, Nurul Husna Faiz, 34 memaklumkan, dia berbelanja sebanyak RM500 untuk barangan basah dan harga juga murah walaupun ada sedikit perubahan kenaikan sekitar 20 hingga 50 sen.

“Pada saya, harga yang ditawarkan masih sama macam sebelum perayaan namun yang naik sedikit sahaja. Bekalan pula sentiasa ada dan kita tidak sebagai pembeli tidak perlu risau walaupun saya pergi hari ini iaitu hari terakhir ramadan untuk masak malam raya nanti,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast