Wakil Jabatan Pergigian Restoratif Fakulti Pergigian Universiti Malaya kepada salah seorang keluarga penerima bantuan.

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Pergigian Restoratif Fakulti Pergigian Universiti Malaya telah menganjurkan program Healing Hearts baru-baru ini dengan mengagihkan pek makanan ruji seperti minyak masak, beras, bihun, tepung gandum, gula, garam, sardin, susu pekat, teh dan mi segera kepada 70 keluarga
asnaf termasuk anak-anak yatim di Kampung Dato’ Mufti Suib, Ampang, Selangor.

Program ini merupakan salah satu usaha kebajikan bagi berkongsi rezeki serta meringankan beban golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

Melalui sumbangan yang diberikan, diharapkan keluarga-keluarga asnaf ini dapat menyambut kedatangan Syawal dengan lebih selesa dan penuh kegembiraan.

Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada para penyumbang yang telah memberikan sumbangan dengan penuh keprihatinan dan keikhlasan.

Bantuan yang disalurkan bukan sahaja memberi manfaat dari segi keperluan harian, malah turut membawa sinar harapan kepada para penerima.

Program ini juga melibatkan penyertaan pensyarah pergigian dari Jabatan Pergigian Restoratif serta staf sokongan yang bersama-sama turun padang bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Sumbangan telah disampaikan secara langsung melalui sesi ziarah ke rumah dengan kerjasama ahli jawatankuasa Surau Al-Hakimin, Kampung Dato’ Mufti Suib (Kg. Tengah), Ampang, Selangor.

Jabatan Pergigian Restoratif Fakulti Pergigian berkata, program ini mencerminkan semangat Ramadan yang menekankan nilai kasih sayang, keprihatinan dan perkongsian rezeki dalam kalangan masyarakat.

Ia berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai sukarelawan demi memperluaskan lagi manfaat kepada komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast