Gambar hiasan

UALA LUMPUR – Seorang kontraktor di Kuantan berputih mata selepas dia mengalami kerugian sebanyak RM356,342 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud dikenali sebagai “marinasand”.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan yang diterima, lelaki berusia 34 tahun itu telah melihat satu iklan pelaburan itu di Google.

“Mangsa kemudiannya telah mendaftar dan menyertai pelaburan itu yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus daripada jumlah pelaburan.

“Dia telah melakukan sebanyak 16 transaksi pindahan wang ke dalam 5 akaun bank yang berbeza bermula dari 18 Februari hingga 19 Mac lalu, melibatkan jumlah keseluruhan kerugian RM356,342.

“Mangsa hanya menerima pulangan awal sekitar RM1,000 sebelum tidak menerima sebarang keuntungan seterusnya seperti yang dijanjikan.

“Dia juga mendapati tidak lagi dapat mengakses laman sesawang pelaburan itu sebelum menyedari telah ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan peribadi serta wang syarikat miliknya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihati supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai juga disarankan untuk membuat semakan nombor akaun melalui laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi tindakan segera, ” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast