Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) menggesa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor mendedahkan statistik penuh hasil Ops Omnipresent dari 20 hingga 22 Mac lalu.

Ketua Penyelarasnya, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, rakyat berhak mengetahui sejauh mana keberkesanan operasi tersebut serta sama ada ia telah mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Ketelusan bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan. Ketiadaan maklumat yang jelas hanya akan menimbulkan persepsi negatif.

“Orang awam tidak dapat membezakan sama ada individu warga asing yang diperiksa memiliki dokumen sah atau sebaliknya.

“Lebih membimbangkan, pelepasan selepas pemeriksaan tanpa penjelasan boleh membuka ruang kepada tuduhan tidak berasas terhadap pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, JIM Selangor memeriksa ratusan warga asing di beberapa lokasi tumpuan di sekitar negeri ini menerusi Ops Omnipresent antara 20 hingga 22 Mac lalu.

Pengarahnya, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi itu dilaksanakan di beberapa kawasan titik panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.

Antaranya Pasar Taman Seri Muda dan Dataran Otomobil, Seksyen 15 di Shah Alam; hentian bas di Pelabuhan Klang, terminal bas, Kawasan 13 di Klang; Pasar Borong Selayang serta Mentari Court, Petaling Jaya.

Iskandar juga menggesa JIM Selangor mendedahkan secara terperinci operasi tersebut merangkumi jumlah individu diperiksa, jumlah yang memiliki dokumen sah, jumlah yang ditahan untuk siasatan dan jumlah yang akan dihantar pulang.

“Pendedahan maklumat ini penting bagi memastikan integriti dan kredibiliti JIM terus terpelihara, di samping menangkis sebarang spekulasi liar.

“Pada masa sama, ketelusan akan meningkatkan keyakinan rakyat dan menggalakkan kerjasama awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“REACH menegaskan dalam isu melibatkan kepentingan awam, keterbukaan adalah asas kepada keyakinan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast