Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu membuat pengkelasan semula mercun mengikut tahap risiko, kawalan pembelian lebih ketat, penetapan zon penggunaan sesuai serta penguatkuasaan lebih proaktif sebelum musim perayaan.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata, pendekatan bermusim yang bersifat reaktif tidak lagi memadai.

“Sudah tiba masanya anjakan kepada dasar pencegahan yang lebih berkesan dan berteraskan keselamatan awam dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) gesa semua pihak tangani budaya mercun demi keselamatan awam

Fawwaz berkata, kerangka perundangan sedia ada yang bersifat lama perlu dinilai semula agar lebih responsif kepada cabaran semasa, termasuk penjualan dalam talian dan kelemahan pemantauan rantaian bekalan.

“Penguatkuasaan yang tidak menyeluruh hanya membuka ruang kepada penyalahgunaan dan meningkatkan risiko keselamatan awam,” katanya.

Beliau menegaskan, kebenaran penjualan mercun secara berlesen tidak boleh dianggap sebagai jaminan keselamatan.

“Realiti semasa menunjukkan masih wujud jurang antara dasar dan pelaksanaan, termasuk penjualan mercun berbahaya secara tidak terkawal dan akses mudah kepada kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, peranan ibu bapa dan penjaga juga tidak boleh dipinggirkan kerana kurangnya pemantauan terhadap anak-anak ketika bermain dengan mercun meningkatkan risiko kecederaan serius.

“ABIM menggalakkan alternatif sambutan yang lebih selamat dan membina serta menyeru masyarakat untuk kembali menghayati nilai adab, tanggungjawab dan ihsan dalam meraikan perayaan,” katanya.

Fawwaz turut melahirkan kebimbangan terhadap budaya menunjuk-nunjuk melalui penggunaan mercun bernilai ribuan ringgit bukan sahaja mencerminkan pembaziran, bahkan menunjukkan pergeseran nilai dalam masyarakat.

“Lebih membimbangkan, fenomena ini berlaku sejurus selepas Ramadan yang sepatutnya mendidik umat tentang kesederhanaan dan tanggungjawab sosial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast