KUALA LUMPUR – “Siapakah Mr X dan kenapa pihak berkuasa masih belum siasat dakwaan-dakwaan yang serious dibuat pengasas dan pengerusi NexG ini?,” tanya penganalisis politik, Datuk Eric See-To.
Pertanyaan itu dibuat oleh bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) susulan dakwaan serius yang dibangkitkan oleh pengasas dan pengerusi eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin berhubung perebutan kawalan korporat dalam syarikat itu.
Menurut Eric, kenyataan media yang dikeluarkan pada 10 Mac lalu oleh Hanifah menimbulkan persoalan besar, khususnya apabila melibatkan dakwaan campur tangan politik dalam urusan syarikat tersenarai.
“Dua minggu lalu, pengasas dan pengerusi eksekutif NexG keluarkan kenyataan media mendakwa beliau digantung selepas membantah cubaan untuk mengalihkan atau mensubkontrakkan teknologi teras NexG kepada pihak ketiga, khususnya HeiTech Padu,” tulisnya dalam Facebook beliau.
Eric berkata, Hanifah mendakwa dua komponen utama iaitu Chip Operating System untuk Secure ID dan projek integrasi identiti digital QR bernilai melebihi RM300 juta cuba dialihkan keluar daripada kawalan NexG melalui subkontrak.
Menurut beliau, dakwaan itu turut mengaitkan beberapa individu termasuk Ruben, Chong Loong Men serta seorang lagi yang hanya dirujuk sebagai ‘Mr A’.
“Selain itu, beliau (Hanifah) turut mendakwa wujud campur tangan seorang ‘tokoh yang sangat berkait politik’ yang hanya dinamakan sebagai ‘Mr X’,” ujarnya.
Katanya, berdasarkan dakwaan tersebut, individu berkenaan bukan sekadar watak di belakang tabir, sebaliknya mempunyai pengaruh besar sehingga mampu memberi tekanan kepada pengarah dan pengurusan utama untuk berundur.
“Malah, terdapat ugutan bahawa mereka boleh berdepan siasatan pihak berkuasa termasuk tindakan polis dan AMLA sekiranya enggan melepaskan jawatan,” katanya.
Beliau berkata, dalam bahasa mudah, dakwaan itu menggambarkan ‘Mr X’ sebagai kuasa tekanan politik yang didakwa terlibat dalam perebutan kawalan korporat NexG.
Beliau juga merujuk dakwaan yang mengaitkan individu sama dengan pelaburan NexG dalam NexG Bina, yang didakwa berlaku dalam konteks janji mendapatkan projek MRT3.
“Menurut versi Hanifah, Mr X bukan sahaja dikaitkan dengan perebutan kawalan korporat, tetapi juga dengan naratif bahawa hubungan politik boleh membuka laluan kepada projek besar,” katanya.
Antara perkara paling sensitif ialah dakwaan kewujudan rakaman suara melibatkan beberapa individu termasuk Chong, Ruben, Mr X dan Mr A.
“Hanifah mendakwa beliau memiliki rakaman suara dan bercadang menggunakannya dalam tindakan lanjut bagi membuktikan beliau tidak bersalah serta mengesahkan dakwaan salah laku,” katanya.
Sehubungan itu, Eric mempersoalkan mengapa pihak berkuasa masih belum menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
“Siapakah Mr X dan kenapa pihak berkuasa masih belum siasat dakwaan-dakwaan serius ini?
“Adakah tiada siapa dalam Malaysia yang berminat dengan rakaman-rakaman tersebut?,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette
















