Dr Siti Hamisah Tapsir

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI terus mengukuhkan kedudukannya di persada global apabila mendahului universiti-universiti Malaysia dalam QS World University Rankings by Subject 2026, dengan empat subjek tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia, pencapaian tertinggi dalam negara.

Empat bidang berkenaan ialah Muzik (ke-24), Seni Persembahan (ke-24), Seni dan Reka Bentuk (ke-29) serta Hospitaliti (ke-47).

Pencapaian ini turut mencipta sejarah baharu buat UCSI apabila buat pertama kalinya universiti tersebut menempatkan empat subjek dalam kelompok 50 terbaik dunia, berbanding rekod terdahulu iaitu dua subjek.

Kedudukan ke-24 bagi Muzik dan Seni Persembahan sekali lagi membuktikan reputasi kukuh UCSI sebagai antara institusi pendidikan tinggi terbaik dunia dalam bidang muzik.

Dalam masa sama, UCSI mencatat peningkatan ketara bagi bidang Seni dan Reka Bentuk apabila melonjak ke kedudukan ke-29 berbanding kelompok 150 terbaik tahun lalu.

UCSI turut melakar pencapaian membanggakan apabila membuat penampilan sulung dalam bidang pemasaran dengan kedudukan dalam kelompok 51–100 dunia.

Secara keseluruhan, jumlah subjek UCSI yang tersenarai meningkat sebanyak 67%, daripada sembilan kepada 15 subjek.

Antara subjek lain yang turut tersenarai ialah Pendidikan (150 Terbaik); Kejuruteraan Petroleum (150 Terbaik); Perniagaan dan Pengurusan (200 Terbaik); Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (300 Terbaik); Farmasi (400 Terbaik); Kejuruteraan Kimia (450 Terbaik); Ekonomi (500 Terbaik); Kejuruteraan
Elektrik dan Elektronik (500 Terbaik); Kejuruteraan Mekanikal (575 Terbaik); dan Perubatan (650 Terbaik).

Presiden dan Naib Canselor Universiti UCSI, Prof Emeritus Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pencapaian tersebut amat membanggakan dan mencerminkan komitmen berterusan universiti terhadap kecemerlangan akademik.

“Saya amat gembira melihat UCSI terus melonjak dalam penarafan terbaharu ini. Universiti-universiti Malaysia berada dalam kelompok 30 terbaik dunia bagi enam subjek, dan UCSI menyumbang kepada tiga daripadanya.

“Pencapaian cemerlang ini adalah hasil usaha gigih selama bertahun-tahun. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pelajar, alumni, kakitangan, rakan industri serta semua pihak berkepentingan atas sokongan dan komitmen berterusan. Bersama-sama, kita telah meletakkan penanda
aras yang lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, UCSI akan terus mempergiat usaha dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), di samping memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dan universiti terkemuka bagi menyediakan peluang yang lebih luas kepada pelajar dan kakitangan dalam ekosistem Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast