Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) mendakwa wujud layanan tidak adil dalam proses kelulusan pekerja asing yang menjejaskan pengusaha restoran India di negara ini.

Presidennya, Datuk J Govindasamy mendakwa, ketika ini permohonan baharu serta permohonan penggantian pekerja asing oleh pengusaha restoran India tidak diluluskan, berbeza dengan sektor restoran lain.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan serta kebimbangan serius dalam kalangan pengusaha kerana ia dilihat sebagai pelaksanaan dasar yang tidak seimbang.

“Ketika restoran lain masih menerima kelulusan pekerja asing termasuk permohonan gantian, pengusaha restoran India terus diketepikan. Ini jelas menunjukkan wujud ketidaksamaan dalam pelaksanaan proses sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Presiden Primas, Datuk J Govindasamy

Beliau berkata, PRIMAS menerima banyak aduan daripada ahli yang gagal mendapatkan temu janji bagi mengemukakan permohonan, selain sistem portal OSC yang didakwa tidak menyediakan slot.

“Cubaan secara walk-in juga tidak dilayan, menyebabkan majikan tiada laluan jelas untuk meneruskan permohonan,” jelas beliau.

Katanya lagi, kekangan itu telah menyebabkan kekurangan tenaga kerja yang serius dalam sektor restoran India di seluruh negara sehingga menjejaskan operasi harian dan perkhidmatan kepada pelanggan.

Govindasamy berkata, sekiranya isu itu tidak ditangani segera, kesannya bukan sahaja dirasai sektor restoran, malah akan turut menjejaskan rantaian ekonomi lain termasuk pembekal dan penyedia logistik.

“Situasi ini juga boleh menjejaskan minat golongan muda untuk menceburi bidang makanan dan minuman, sekaligus mengurangkan peluang keusahawanan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tekanan ekonomi berpanjangan dan kekurangan peluang pekerjaan boleh membawa kepada implikasi sosial lebih serius.

“Jika berlarutan, ia berpotensi mendorong individu terlibat dalam kegiatan tidak sihat termasuk jenayah seperti pinjaman haram, dadah dan perniagaan tidak sah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya segera menyemak semula proses kelulusan pekerja asing bagi memastikan ia dilaksanakan secara adil, telus dan tanpa diskriminasi terhadap mana-mana sektor. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast