Ketua Bersatu Ampang, Nor Hizwan Ahmad

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga diesel berisiko mencetuskan kesan rantaian terhadap kos sara hidup rakyat sekali gus memerlukan langkah segera dan bersasar bagi mengawal impaknya.

Ketua Bersatu Ampang, Nor Hizwan Ahmad berkata, peningkatan harga bahan api itu bukan sahaja memberi tekanan kepada kos operasi industri malah berpotensi mendorong kenaikan harga barangan keperluan di pasaran.

“Walaupun terdapat faktor tertentu yang berada di luar kawalan, kerajaan perlu bertindak secara berhemah dan segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Kenaikan harga diesel lazimnya akan memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, khususnya dalam sektor makanan yang melibatkan kos pengangkutan dan logistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nor Hizwan, bagi mengurangkan tekanan tersebut, pihaknya mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang berperanan mengkaji serta merangka langkah intervensi bersasar terutama dalam rantaian bekalan makanan.

Jawatankuasa itu perlu memberi tumpuan kepada mekanisme yang mampu menyerap kenaikan kos operasi agar tidak dipindahkan sepenuhnya kepada pengguna.

“Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk pemberian insentif sementara seperti pengurangan cukai, sokongan bil elektrik, bantuan penyelenggaraan kenderaan, subsidi tenaga kerja serta bantuan bayaran tol kepada penggiat industri makanan asas.

“Pendekatan ini penting bagi membantu pemain industri mengekalkan harga jualan pada tahap munasabah,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, aspek pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkukuh bagi memastikan setiap insentif yang diberikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, dan bukan sekadar menguntungkan pihak tertentu.

“Kerajaan juga perlu memastikan kawalan harga dilaksanakan dengan lebih efektif supaya kenaikan kos tidak dimanipulasi sehingga membebankan pengguna,” ujarnya.

Tambah beliau, langkah menyeluruh itu diharap dapat membantu mengekalkan kestabilan harga barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, ikan, ayam dan daging.

Beliau turut menyatakan komitmen Bersatu Ampang untuk terus menyokong sebarang usaha yang bersifat inklusif, praktikal dan berfokus kepada kebajikan rakyat dalam mendepani tekanan ekonomi semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast