Asisten Komisioner Sazalee Adam

KUALA LUMPUR – Polis menahan 18 lelaki berusia antara 17 hingga 45 tahun kerana dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki sehingga cedera dalam kejadian di hadapan KLCC, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian kira-kira pukul 9 malam itu dipercayai berpunca daripada tindakan sekumpulan jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ yang memukul seorang pelancong lelaki warga India di lokasi berkenaan.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan yang cuba meleraikan pergaduhan turut menjadi mangsa apabila diserang dari arah belakang menggunakan senjata dipercayai pisau kerambit.

“Mangsa kemudian dipukul beberapa individu sehingga mencetuskan kekecohan apabila kira-kira 30 rakan suspek turut membantu menyerang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sazalee berkata, semua suspek berjaya ditahan di sekitar lokasi kejadian pada Isnin lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku berada di tempat kejadian dan bekerja sebagai jurugambar jalanan di sekitar kawasan KLCC.

“Pengecaman saksi turut mendapati dua daripada suspek dikenal pasti sebagai individu yang terbabit dalam serangan,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Sementara itu, pada Rabu lalu, pempengaruh Mohd Fadli Saleh menerusi hantaran di Facebook memaklumkan dua lelaki mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, seorang mangsa menerima tujuh jahitan manakala seorang lagi dua jahitan, selain mendakwa serangan dilakukan secara mengejut dari arah belakang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast