Chin Wei (tiga dari kiri) bersama Jagdeep pada pertemuan mereka di Komtar di sini.

GEORGE TOWN – Dewan Usahawan Progresif Malaysia (MPE) memberi tumpuan memperkukuh keupayaan usahawan dan golongan profesional tempatan dengan penekanan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan kerjaya dan perniagaan.

Presidennya, Khoo Chin Wei berkata, penubuhan organisasi itu pada Februari lalu membuka ruang kepada ahli untuk berkembang dalam pelbagai sektor termasuk agroteknologi, automotif dan pembangunan hartanah secara lebih tersusun dan berdaya saing.

Menurut beliau, MPE bukan sekadar platform domestik, sebaliknya berperanan menghubungkan komuniti usahawan tempatan dengan rangkaian di peringkat Asia bagi memperluas peluang pasaran dan kerjasama strategik.

“Terkini, kita sedang membincangkan bentuk bantuan kepada para petani atau usahawan tani yang terjejas dengan penggunaan bekalan minyak diesel dan baja ekoran konflik di Asia Barat, ketika ini.

“Malah, kita juga sedia membantu peniaga baharu di bawah MPE untuk meringankan kos pemasaran, produk dan kos pengurusan mereka melalui pelbagai pendekatan yang bakal dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata MPE turut membawa masuk perspektif antarabangsa dengan memperkenalkan usahawan dari Hong Kong bagi berkongsi perkembangan teknologi AI serta potensi kolaborasi dalam ekosistem digital di Pulau Pinang.

“Ini menerusi lawatan rasmi ke atas Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeeo Sigh Deo di Komtar yang bertujuan untuk memperkenalkan MPE secara rasmi sebagai sebuah platform dinamik yang komited memperkasa usahawan dan golongan profesional di seluruh Malaysia.

“Di samping itu, ia juga memupuk kerjasama, inovasi dan pertumbuhan perniagaan yang mampan,” ujarnya setakat ini MPE merekodkan seramai 100 keahlian.

Tambah beliau, MPE juga optimis untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan serta memperluas kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast