Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto: MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyasarkan pelantikan Ketua Pembangkang baharu dimuktamadkan sebelum akhir Mac ini, menjelang Sidang Parlimen akan datang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan, proses pemilihan sedang berjalan dengan mengambil kira pandangan Ahli Parlimen dalam gabungan tersebut.

Menurutnya, calon Ketua Pembangkang akan dipilih daripada kalangan Ahli Parlimen Pas selaras dengan amalan dalam kalangan parti pembangkang.

“Pelantikan ini dibuat berdasarkan persetujuan parti-parti pembangkang, dengan pandangan Ahli Parlimen PN turut diambil kira.

“Seperti pelantikan sebelum ini, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipilih oleh PN dan dipersetujui Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Kelantan, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Pas difahamkan akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, namun nama calon masih belum diumumkan.

Ketika ini, jawatan itu disandang Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu.

MalaysiaGazette juga difahamkan pelantikan tersebut perlu dipersetujui parti-parti komponen PN dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi sebelum diumumkan secara rasmi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast