ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memperuntukkan RM1.4 juta bagi menjayakan program Meh Balik Kampus yang menyediakan bas ekspres percuma kepada mahasiswa kelahiran Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, seramai 3,500 mahasiswa Johor di setiap daerah menerima manfaat program itu.
“Daripada jumlah itu, 510 pelajar menerima rebat RM500 bagi pembelian tiket kapal terbang menuju ke Sabah dan Sarawak.
“Program Meh Balik Kampus ini yang pertama kali diadakan turut memberikan rebat RM500 buat 342 mahasiswa anak Johor yang akan pulang ke Sarawak dan 168 pelajar yang pulang ke Sabah.
“Kita berharap usaha kecil ini memberi impak yang besar kepada mahasiswa anak Johor dalam menyokong perjalanan mereka ke menara gading, seterusnya melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing untuk berbakti kepada Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Meh Balik Kampus di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Sementara itu, bapa pelajar, Abd Ghani Ahmad, 46, berkata, inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri ini membantu meringankan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga.
“Kebiasaannya, anak sulung saya akan membelanjakan lebih RM100 untuk membeli tiket bas ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
“Dengan adanya perkhidmatan bas percuma ini, ia menjimatkan kos pengangkutan yang boleh digunakan untuk tujuan pengajian di sana,” katanya.
Bagi pelajar, G Lakshman, 20, yang menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), inisiatif berkenaan memudahkan pergerakannya untuk pulang ke universiti awam tersebut.
Pelajar dari Fakulti Sains Komputer itu berkata, menerusi program tersebut dapat bersuai kenal dengan mahasiswa anak Johor yang belajar di universiti yang sama.
“Perkhidmatan bas ekspres percuma ini amat mudah buat kami kerana pelajar dihantar terus ke universiti masing-masing. Jika tidak, kami terpaksa mengambil teksi pula untuk ke universiti setelah bas tiba di Terminal Bersepadu Selatan,” ujarnya.
Bagi pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Nurin Jazmina Jamaluddin, 23, inisiatif ini amat membantu pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah.
“Inisiatif ini amat bermakna bagi mereka yang belajar jauh di Utara atau di kawasan Pantai Timur. Ini kerana tiket bas untuk ke sana sukar diperoleh dan harganya juga mahal.
“Sebelum ini, ada rakan universiti yang terpaksa balik lambat ke universiti sebab kehabisan tiket bas, jadi kita patut berada beruntung,” ujar Fakulti Keusahawanan dan Hospitaliti.- MalaysiaGazette















