Jamal Yunos

KUALA LUMPUR – Pendedahan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung identiti sebenar Mr R yang dimaksudkan ahli perniagaan, Victor Chin sebagai Ruben tidak memadai tanpa bukti kukuh.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Rafizi perlu mengemukakan bukti tanpa berteka-teki lagi dan membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dalang di sebalik salah laku rasuah RM9.5 juta.

“Walaupun Victor Chin tidak mendedahkan siapa individu terbabit dan hanya memberi bayangan sebagai Mr R, kini Rafizi pula muncul mendakwa beliau mempunyai maklumat identiti Mr R sebagai Ruben.

“Sukar untuk saya mempercayai kata-kata Ahli Parlimen Pandan itu yang sebelum ini pernah mengaku membuat pendedahan kes tertentu hanya bertujuan untuk menghasut orang ramai bagi menjatuhkan parti pemerintah.

“Malah pendedahan Rafizi kononnya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mempunyai dana RM14 juta merentasi sembilan syarikat masih gagal dibuktikan dan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Khamis lalu, Rafizi menerusi akaun TikToknya mendedahkan selain peguam, Ruben adalah seorang Penasihat Korporat NexG dan Pengarah Eksekutif HighTech Padu.

Rafizi berkata, semakan daripada pengumuman di Bursa Malaysia menunjukkan individu yang memegang dua jawatan itu adalah seorang peguam bernama Sandraruben Neelamagham (Ruben).

Sebelum itu, Rafizi mendedahkan ada isu berbeza mengenai isu ahli Parlimen PKR yang dituduh menerima RM9.5 juta dari Victor Chin untuk kawtim kes mafia korporat cuba ambil alih NexG.

Dalam pada itu, Jamal menegaskan, sekiranya Rafizi masih gagal melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, beliau boleh dianggap sebagai bersubahat dengan salah laku rasuah dan cuba melindungi pihak yang memberikan suapan itu.

“Saya juga masih tertanya-tanya sejauh mana perkara ini mempunyai asas sedangkan Rafizi terus berteka-teki dan cuba mengambil kesempatan di atas isu rasuah yang timbul.

“Saya khuatir jika perkara ini terus dibiarkan berleluasa dan tindakan tidak diambil, ia hanya berniat untuk mengeliru dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast