KUALA LUMPUR – PUTRA memandang serius kontroversi melibatkan NexG Berhad yang kini mengendalikan infrastruktur identiti nasional termasuk sistem pasport dan MyKad bernilai lebih RM2.5 bilion.
Walaupun siasatan rasmi masih berjalan, terdapat risiko besar terhadap keselamatan negara dan integriti data rakyat, kata
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Shahrulufti Sharif.
“Kawalan syarikat tidak jelas, perubahan mendadak dalam pegangan saham dan lembaga pengarah menimbulkan persoalan siapa sebenarnya mengawal syarikat ini. Infrastruktur kritikal negara tidak boleh berada di bawah pengaruh yang kabur.
“Risiko manipulasi dan campur tangan asing, apabila kawalan sebenar tidak telus, data rakyat boleh terdedah kepada manipulasi, ugutan operasi, atau eksploitasi pihak luar,” katanya dalam kenyataan.
PUTRA menuntut tindakan segera kerajaan dengan gantung kontrak serta-merta dan laksanakan pelan peralihan untuk kerajaan mengambil alih kawalan penuh termasuk kunci kriptografi dan akses data.
“Bekukan sebarang pemindahan IP atau kawalan kepada pihak luar. Audit keselamatan bebas oleh agensi berkaitan dan siasatan menyeluruh dan pendedahan awam terhadap proses perolehan,” katanya.
PUTRA menegaskan isu itu bukan sekadar soal perniagaan tetapi soal keselamatan negara dan kepercayaan rakyat. Kerajaan tidak boleh berkompromi.
“Kelengahan hanya akan meningkatkan risiko, menjejaskan integriti sistem dan menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















