KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya, Salwani Anuar dibenarkan dibicarakan secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini.
Keputusan itu dibuat Hakim Azura Alwi selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat agar pertuduhan Muhammad Hafizuddeain di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Januari lalu, dibicarakan bersama dengan empat pertuduhan di mahkamah terbabit.
Beliau juga memohon empat pertuduhan dikenakan terhadap Salwani di Mahkamah Sesyen di sini digabungkan dengan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Januari lalu.
Permohonan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 91 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 165 dan Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah.
“Permohonan ini dibuat kerana kesemua pertuduhan membabikan saksi dan fakta kes yang sama serta bagi menjimatkan masa mahkamah. Pihak pendakwaan mohon supaya dibicarakan bersama,” kata Mahadi ketika prosiding hari ini.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan Maziah Mohaide, manakala tertuduh diwakili Peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmoi Abd Moin.
Mahadi turut memberitahu mahkmah bahawa pendakwaan akan menyerahkan dokumen bagi tujuan perbicaraan kepada pihak pembelaan secara berperingkat.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 18 Mei depan.
Pada 22 Januari lalu, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.12 juta.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di antara 2 Februari 2024 dan 7 November tahun lalu berkait tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di tiga lokasi beebeza iaitu di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Sehari selepas itu, Muhammad Hafizuddeain sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram bernilai RM145,000 di sebuah bank di Ampang antara 2 Februari 2024 hingga 19 Mei 2025.
Bagi keenam pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum dibawah Subseksyen 4(1)akta yang sama.
Sementara itu, isteri ketiganya, Salwani didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000, dua tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Salwani didakwa sebagai pengawal syarikat Wany Venture, menerima hasil aktiviti haram iaitu wang masing-masing RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 yang dimasukkan ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat berkenaan.
Pada 26 Januari lalu, Salwani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 tahun lalu.
Bagi kelima-lima pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama. – MalaysiaGazette
















