Projek Tebatan Banjir LPT1.

KUALA LUMPUR – AFA PRIME Berhad secara rasmi memulakan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) jangka sederhana di Kilometer (KM) 116 hingga KM117 (Pakej 1A) arah Timur, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Langkah itu diambil bagi memfasilitasi pelaksanaan kerja-kerja fizikal di bawah Projek Tebatan Banjir (Pakej 1A) yang dijalankan secara berperingkat.

Inisiatif bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh projek berlangsung, katanya dalam kenyataan.

Pelan pengurusan trafik tersebut telah melalui proses penilaian teknikal yang ketat termasuk menjalani Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) serta mendapat pengesahan daripada perunding dan jurutera bebas yang dilantik.

Pihak AFA PRIME turut mengesahkan semua keperluan keselamatan dan piawaian teknikal telah dipatuhi sepenuhnya dengan kerja-kerja penambahbaikan berkaitan telah disiapkan bagi menjamin tahap kesiapsiagaan operasi yang optimum di lokasi terlibat.

Selain itu, pelaksanaan TMP turut menyerap elemen mitigasi risiko sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menangani kawasan yang sering terdedah kepada ancaman banjir.

Pengarah Eksekutif AFA PRIME Berhad, Vijayaraj Govindarajoo menegaskan, komitmen syarikat dalam memberikan pengalaman perjalanan yang lancar melalui penyelarasan projek yang rapi.

“Kami komited untuk melaksanakan inisiatif ini secara terancang dan bersepadu dengan memastikan pengalaman perjalanan pengguna lebuh raya kekal lancar dan selesa sepanjang tempoh pelaksanaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan semasa, malah memperkukuh aspek keselamatan dan kelestarian infrastruktur lebuh raya bagi jangka masa panjang,” katanya lagi.

Bagi memastikan keberkesanan pelan, AFA PRIME akan terus menjalankan pemantauan trafik dan keselamatan secara berterusan dengan kerjasama erat bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast