LANDSKAP pengurusan bazar Ramadan dan Syawal yang sebelum ini sering dihimpit pelbagai isu dan banyak aduan mengenai dakwaan ketirisan dan polemik penguatkuasaan.
Namun tahun 2026 mencatatkan satu anjakan luar biasa apabila tiada langsung laporan polis direkodkan berkenaan bazar Ramadan di Kuala Lumpur.
Lebih signifikan, pencapaian itu berlaku di bawah pentadbiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang dilihat berjaya memecahkan kitaran tahunan kontroversi yang sekian lama membelenggu operasi bazar di ibu negara.
Sumber MalaysiaGazette yang rapat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati, hasil tinjauan dengan beberapa pegawai penguat kuasa menunjukkan situasi tahun ini amat berbeza daripada kebiasaan.
“Kalau ikut pengalaman kami, setiap tahun pasti ada isu seperti pergaduhan peniaga, tapak tidak sah, orang tengah, caj tidak munasabah atau campur tangan pihak tertentu tetapi tahun ini langsung tiada laporan polis.
“Itu sangat jarang berlaku, malah boleh dianggap kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun,” kata sumber itu.
Menurut beliau, perubahan ini tidak berlaku secara kebetulan sebaliknya hasil pendekatan pentadbiran yang lebih tersusun, tegas dan pada masa sama praktikal – satu gabungan yang sebelum ini sukar dicapai.
Daripada isu berulang kepada model pengurusan baharu
Rekod lampau menunjukkan bazar Ramadan dan Syawal di Kuala Lumpur sering menjadi tajuk utama atas sebab yang negatif termasuk monopoli tapak, kewujudan kartel serta isu kebersihan dan keselamatan.
Namun tahun ini, naratif tersebut berubah hampir sepenuhnya.
Tiada aduan berprofil tinggi. Tiada insiden yang mencetuskan kemarahan awam dan tiada campur tangan pihak luar yang menjejaskan integriti sistem.
Sebaliknya, bazar berjalan dalam keadaan yang digambarkan oleh penguat kuasa sebagai harmoni, aman dan terkawal.
Apa yang menarik, sumber memaklumkan perubahan itu banyak dipacu oleh penstrukturan semula proses dalaman termasuk pemantauan yang lebih rapi, garis panduan yang jelas serta penguatkuasaan yang konsisten tanpa kompromi.
Selain itu, sumber turut mendedahkan langkah awal yang diambil oleh Hannah Yeoh sebelum musim bazar bermula memainkan peranan penting dalam meredakan tekanan peringkat peniaga.
Antara keputusan utama ialah penurunan kadar sewaan tapak bazar Ramadan kepada RM400 berbanding RM500 pada tahun sebelumnya, satu langkah yang dilihat mengurangkan kebergantungan peniaga kepada orang tengah serta membuka ruang kepada penyertaan yang lebih adil.
Menurut pemerhati, pendekatan itu bukan sekadar bersifat populis tetapi strategik kerana ia menutup ruang manipulasi harga peringkat awal rantaian.
Dalam masa yang sama, DBKL turut memperkenalkan pembaharuan dari sudut keselesaan fizikal apabila memasang khemah berskala besar di beberapa lokasi bazar Ramadan.
Inisiatif itu bukan sahaja melindungi peniaga dan pengunjung daripada faktor cuaca seperti hujan dan panas terik malah membantu mewujudkan suasana yang lebih tersusun, selesa dan mesra pengunjung sekali gus meningkatkan pengalaman keseluruhan di bazar.
Gandingan yang menjadi
Di sebalik kejayaan itu, perhatian turut terarah kepada gandingan antara Hannah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Kedua-duanya dilihat membentuk keselarasan operasi yang jarang berlaku di mana hala tuju dasar seiring dengan pelaksanaan di lapangan.
Menurut sumber rapat itu lagi, beliau menyifatkan hubungan kerja dua pimpinan itu sebagai faktor utama.

“Arahan jelas dari atas, pelaksanaan pula konsisten di bawah. Tiada kekeliruan dalam penyampaian. Itu yang membezakan tahun ini dengan tahun-tahun sebelumnya.”
Menurut pemerhati, pendekatan itu berjaya menutup ruang manipulasi oleh pihak berkepentingan yang sebelum ini mengambil kesempatan atas kelemahan koordinasi.
Isyarat kepada keputusan politik yang lebih besar
Dalam konteks lebih luas, perkembangan yang sama dilihat mengesahkan ketepatan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan Hannah menerajui portfolio Wilayah Persekutuan dalam rombakan Kabinet pada Disember tahun lalu.
Apa yang pada awalnya dilihat sebagai langkah strategik kini mula menunjukkan hasil yang boleh diukur bukan sekadar dari sudut persepsi tetapi juga melalui indikator operasi di lapangan.

Bagi sesetengah pihak, pencapaian tanpa laporan polis ini mungkin kelihatan kecil namun dalam konteks sejarah pengurusan bazar di Kuala Lumpur, ia membawa makna yang jauh lebih besar iaitu simbol kepada keberkesanan pentadbiran yang benar-benar berfungsi.
Antara realiti dan persepsi
Namun di sebalik pujian, terdapat juga persoalan yang wajar diteliti, sama ada kejayaan itu mampu dikekalkan atau hanya berlaku untuk satu musim sahaja.
Dalam sistem yang kompleks seperti pengurusan bazar bandar, konsistensi adalah ujian sebenar, bukan kejayaan sementara.
Sekiranya momentum dapat diteruskan, ia bukan sahaja mengubah cara bazar diuruskan malah berpotensi menetapkan penanda aras baharu bagi tadbir urus bandar di Malaysia.
Buat masa ini, satu perkara jelas. Untuk pertama kali dalam tempoh lebih dua dekad, bazar Ramadan dan Syawal di ibu negara tidak lagi sinonim dengan masalah sebaliknya menjadi contoh bahawa perubahan yang dirancang dengan baik dan dilaksanakan secara berdisiplin mampu direalisasikan. – MalaysiaGazette
















