KUALA LUMPUR – Parlimen ambil maklum berhubung cadangan mengenai garis panduan larangan menyentuh isu-isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam ucapan di Parlimen.
Katanya, saranan itu susulan pelancaran Laporan Rasisme Malaysia Tahun 2025 yang diterbitkan oleh Pusat KOMAS dan cadangan daripada kerajaan sendiri.
“Dalam hal ini, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah terdapat peruntukan mengenai larangan Ahli-ahli Parlimen membincangkan isu berkaitan Institusi Diraja serta larangan berucap berkaitan perkara yang berunsur kurang sopan, sangkaan jahat, serta perkara yang menaikkan perasaan bersakit-sakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dalam Malaysia atau melanggar mana-mana syarat dalam Perlembagaan Persekutuan atau Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Oleh itu, cadangan penyediaan garis panduan tersebut boleh menjadi rujukan tambahan dalam mentafsirkan peraturan-peraturan mesyuarat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Selain itu, garis panduan tersebut juga akan turut diuar-uarkan kepada Ahli-ahli Parlimen untuk rujukan mereka demi memastikan ucapan mereka mematuhi peraturan-peraturan mesyuarat kedua-dua Dewan. -MalaysiaGazette
















