Penganalisis Ekonomi Putra Business School UPM, Prof Madya Dr Ida Md Yasin bersama Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pada Program SKOP MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 31 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu menerima realiti ketidaktentuan harga minyak dunia dan tidak terlalu bergantung kepada pemberian subsidi kerajaan semata-mata.

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School UPM, Prof Madya Dr Ida Md Yasin berkata,  sudah tiba masanya rakyat berpijak di bumi nyata kerana subsidi yang terlalu banyak hanya akan meningkatkan kebergantungan dan membebankan masa depan ekonomi negara.

“Kerajaan harus mengurangkan pemberian subsidi secara berperingkat dan mengalihkannya kepada bantuan tunai yang lebih bersasar bagi mengelakkan beban hutang negara terus melambung tinggi.

“Langkah tersebut perlu dilakukan memandangkan pengekalan subsidi pukal pada kadar sedia ada kini meletakkan kedudukan fiskal negara dalam keadaan yang sangat tertekan.

“Saya cadang ia dikurangkan, tapi bukanlah menariknya balik 100 peratus,” katanya menerusi program SKOP MG dengan tajuk Harga Minyak Dunia Melambung: Rakyat Panik Harga Barangan Naik?

Tajuk ini turut dirungkai bersama seorang lagi panel iaitu Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School UPM, Prof Madya Dr Ida Md Yasin bersama Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pada Program SKOP MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 31 MAC 2026

Jelas Dr Ida lagi, rakyat seharusnya menerima keadaan sebenar dan kerajaan hanya membantu sedikit dan bukannya secara keterlaluan.

“Mungkin bantuan boleh dialihkan melalui penambahan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau bantuan BUDI.

“Intinya di sini, rakyat yang menggunakan bahan api perlu menanggung sendiri sebahagian kos, manakala kerajaan tanggung separuh lagi, bukannya sepenuhnya seperti sekarang,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, dari sudut kerajaan, pemberian subsidi dilihat terlalu besar dan akan menjejaskan peruntukan bagi tujuan pembangunan lain yang lebih kritikal untuk rakyat.

“Nisbah hutang negara terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini sudah berada pada tahap membimbangkan, oleh itu menuntut kerajaan mengecilkan perbelanjaan subsidi yang tidak efisien,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ida berkata, jurang subsidi bahan api yang terlalu rendah menyebabkan ketirisan dan penyeludupan semakin tidak dapat dibendung.

“Kita kena ingat, selain faktor ekonomi, isu penyeludupan juga tidak dapat dikawal. Ia didorong oleh jurang harga subsidi yang terlalu besar berbanding harga pasaran dunia.

“Apabila harga pasaran dengan harga subsidi terlalu jauh beza, ia seolah-olah menggalakkan penyeludupan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, dengan garis pantai Malaysia dengan sempadan negara-negara jiran yang sangat luas menyukarkan ia sukar dikawal sepenuhnya.

“Kita bukannya ada bantuan teknologi seperti dron yang boleh kawal 24 jam.

“Ketirisan ini adalah kerugian besar kepada rakyat kerana duit yang sepatutnya sampai kepada kita telah bocor keluar akibat aktiviti tidak bertanggungjawab ini,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast