KUALA LUMPUR – Memilih waktu yang sesuai dan tidak berlama-lama ketika bertamu, demikian pesananan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil kepada orang ramai yang bercadang berhari raya sempena sambutan Aidilfitri.
Menurut beliau, tetamu perlu peka memilih waktu kunjungan dan mengelakkan waktu-waktu privasi seperti lewat petang sehingga Maghrib atau terlalu lewat malam yang merupakan waktu untuk berehat.
Katanya, adab tersebut mengajar tetamu agar tidak menceroboh ruang dan waktu peribadi sesebuah keluarga tanpa keperluan yang mendesak, sekali gus mendidik supaya sentiasa memiliki sifat empati terhadap keadaan tuan rumah.
“ Walaupun pintu rumah dibuka seluas-luasnya sempena Aidilfitri, itu bukanlah tiket untuk tetamu bersikap mementingkan diri dengan mengabaikan waktu-waktu kritikal yang sepatutnya digunakan oleh penghuni rumah untuk beribadah, menguruskan diri atau berehat bagi memulihkan tenaga.
“Menghormati waktu tuan rumah adalah perintah Allah SWT agar tidak menimbulkan kesulitan kepada penghuni rumah dalam menguruskan hal peribadi mereka.
“Hal ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat 58 yang menyebut tentang tiga waktu yang menjadi aurat atau privasi bagi ahli keluarga iaitu waktu sebelum subuh, tengahari dan selepas Isyak,” menurut beliau dalam ruangan `Tinta Mufti’ menerusi laman Facebook.
Ahmad Fauwaz selanjutnya berkata, amalan rumah terbuka membuahkan pahala berlipat ganda apabila dilaksanakan selari dengan anjuran syarak serta tidak melanggar batas yang ditetapkan.
Ujar beliau, namun tindakan duduk terlalu lama sehingga mengganggu urusan tuan rumah atau menghalang tetamu lain mendapat tempat duduk, tidak disarankan.
“Sikap bertimbang rasa ini sangat dituntut agar tuan rumah tidak merasa terbeban dengan kehadiran kita yang melampaui batas masa yang sepatutnya,” ujarnya.
Ahmad Fauwaz selanjutnya berpesan supaya menjaga lisan dan menghindari pernyataan yang sensitif antaranya berkaitan zuriat, kerjaya atau perkara yang menimbulkan rasa kurang senang.
Beliau turut menyatakan, privasi dan harta benda tuan rumah juga perlu dihormati dengan cara menjaga pandangan dan tangan daripada menyentuh atau memasuki ruang privasi tanpa izin seperti bilik tidur.
Tetamu turut dinasihatkan untuk tidak mengubah kedudukan barangan di rumah tersebut demi menghormati penghuninya.
Ujarnya, meskipun amalan rumah terbuka merupakan tradisi yang sarat dengan nilai ibadah, ia wajar dilaksanakan berlandaskan syariat Islam.
“Menghormati waktu tuan rumah, menjaga lisan daripada soalan yang sensitif serta tidak mengabaikan kewajipan solat fardu adalah tanggungjawab yang perlu dipelihara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















