Gambar: Ihsan JIM,

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh dikenali sebagai Geng Ashraf dalam serbuan di sebuah rumah transit di Ampang awal pagi tadi.

JIM telah menahan 30 lelaki termasuk tiga individu dipercayai fasilitator sindiket.

Serbuan sekitar pukul 12.40 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM di sebuah lot kedai yang dijadikan lokasi persembunyian dan transit pendatang tanpa izin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pasukan operasi terpaksa memecahkan pagar dan pintu utama rumah sebelum berjaya memasuki premis berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil serbuan tersebut, seramai 27 lelaki warga Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia berjaya ditahan.

“Turut diberkas tiga lelaki dari negara sama yang disyaki berperanan sebagai ahli sindiket termasuk fasilitator dan penjaga rumah transit berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit memasuki negara jiran kira-kira tiga hari lalu sebelum diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram,” katanya dalam kenyataan.

Zakaria berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari 2025 itu menawarkan perkhidmatan membawa masuk warga asing menggunakan laluan negara ketiga sebelum memasuki Malaysia melalui Kelantan dan seterusnya dibawa ke Lembah Klang untuk dihantar ke destinasi tertentu.

Jelasnya, dengan bayaran mencecah RM8,000 bagi setiap migran, sindiket terbabit dianggarkan meraih keuntungan sekitar RM2.4 juta sepanjang tempoh operasi mereka.

Beliau menambah, kesemua migran berusia antara 20 hingga 49 tahun kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi tujuan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Zakaria menegaskan, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ATIPSOM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast