Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut lebih 10,000 pengunjung di Himpunan Anak Pahang Madani 2026 di UTC Pahang, Kuantan

KUANTAN – Enam negeri terpilih jadi perintis untuk menerima kemudahan digital berteraskan Kecerdasan Buatan (AI) dalam usaha kerajaan memperluas pendedahan teknologi itu kepada pelajar dan belia di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan dilaksanakan di institusi pengajian termasuk institusi pengajian Islam terpilih di enam negeri terbabit.

“Semua pelajar harus lebih terdedah dengan kemudahan AI. Ini termasuk di Institusi Pengajian di negara kita dan institus pengajian Islam.

“Jadi, sebagai langkah awal, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memberikan kemudahan digital di institusi perintis enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Pulau Pinang yang menyasarkan 3,000 pelajar supaya terdedah dengan AI, pemikiran kritis dan inovasi digital,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Himpunan Anak Pahang Madani 2026 di UTC Kuantan

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di hadapan lebih 10,000 pengunjung sempena Himpunan Anak Pahang Madani 2026 di perkarangan UTC Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia Dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Anwar, pelajar dan belia perlu mempunyai daya pemikiran kritis dan boleh mentafsir sesuatu maklumat yang diterima selain cemerlang dalam pembelajaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, kegunaan teknologi AI tidak seharusnya menghakis keperibadian dan sifat manusiawi seseorang individu.

“Walaupun dengan teknologi baru, dengan AI yang sekarang menjadi tumpuan kita. Tapi apa erti AI kalau kita hakis kemanusiaan?

“Yang kita nak angkat ini martabat manusia. Sebab itu, saya kata akhlak itu penting, budaya itu penting. Hubungan yang baik antara saudara-saudara anak-anak itu penting. Hilangkan rasa dengki dan cemuh, memperbodohkan sesama sendiri. Ini yang saya nak sebutkan,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam program sama, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan bagi kerja-kerja awalan naik taraf fasiliti gelanggang futsal termasuk di Kampung Bay Route di sini yang bernilai RM600,000.

Beliau turut meluluskan peruntukan segera RM500,000 bagi pembinaan dewan pembelajaran baharu di Pusat Pengajian Islam Ribath Al-Mustafa, Sungai Karang . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast