KUALA LUMPUR – Dua warga asing dan seorang rakyat tempatan dikenakan tindakan sita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menjalankan aktiviti jurugambar tanpa kebenaran di kawasan awam.
DBKL berkata, tindakan tersebut diambil semasa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee, semalam.
“DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat tanpa kompromi.
“Sebarang aktiviti tidak berlesen, pelanggaran undang-undang serta tindakan yang menjejaskan imej bandar raya akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
DBKL komited untuk memastikan Kuala Lumpur kekal bersih, selamat dan teratur untuk semua. -MalaysiaGazette
















