PUTRAJAYA – Bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Parlimen Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz mengumumkan penarikan dirinya daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.
Dalam surat rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh bertarikh 5 April, beliau memaklumkan keputusan itu dibuat selepas tidak lagi memahami hala tuju serta perkembangan parti sejak Konvensyen PKR 2025 di Johor Bahru.
“Saya merasakan sudah tiba masanya untuk menarik diri kerana saya tidak memahami segala apa yang telah berlaku sejak Konvensyen PKR tahun lepas (2025) di Johor Bahru.
“Saya juga tidak memahami apakah perjuangan PKR kini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan pendirian politiknya termasuk sokongannya kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan.
“Sokongan saya hanya kepada YB Rafizi Ramli, beliau yang paling saya percaya dalam bidang politik di Malaysia,” tegasnya.
Menurutnya, beliau kini memilih untuk menyertai gerakan RealReform yang disifatkan lebih selari dengan prinsip serta pegangan dirinya.
“Saya kini menyertai gerakan RealReform kerana ini lebih masuk akal kepada diri saya. Pada masa sama, saya perlu menjaga kesihatan saya, baik fizikal mahupun mental, maka perjuangan yang tidak berlandaskan ihsan, logik dan ketelusan serta mengutamakan rakyat tidak boleh menjadi pilihan saya,” ujarnya.
Noraishah turut menegaskan, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan panjang termasuk faktor kesihatan dan prinsip perjuangan.
“Sejujur dan seikhlasnya saya tidak memahami apakah perjuangan PKR kini, sebab itu saya menyertai gerakan Real Reform kerana ini lebih masuk akal kepada saya.
Noraishah turut menegaskan, segala usaha yang dilakukan adalah demi kebajikan golongan tertentu yang menjadi fokus perjuangannya.
“Segala yang saya buat adalah untuk kebaikan dan kebajikan anak-anak spina bifida (kecacatan tulang belakang sejak lahir) Malaysia yang saya jaga,” katanya.
Beliau juga melahirkan kekecewaan terhadap aspek kebolehcapaian di pejabat parti di sini meskipun beliau merupakan individu berkerusi roda.
“Seperti anda semua boleh lihat, akses sudah bertahun-tahun, walaupun Perdana Menteri kini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim namun bilik gerakan masih di atas dan akses masih sukar untuk saya,” katanya
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kehadirannya ke mesyuarat parti hari ini sebagai tanda hormat kepada kepimpinan sebelum membuat keputusan tersebut.
“Saya datang awal hari ini kerana rasa hormat dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PKR kerana memberi peluang kepada saya menjadi calon PRU-15,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun mengakui keputusan tersebut dibuat dengan emosi bercampur namun yakin dengan pendiriannya.
“Saya mengundurkan diri dengan rasa hormat. Saya rasa sedih tetapi saya tidak berat hati kerana saya tahu apa yang saya buat. Hati saya milik rakyat dan apa yang saya lakukan adalah demi rakyat,” tegasnya.
Salinan surat pemberhentian juga turut dihantar kepada Ketua Cabang Putrajaya dan Ketua Wanita Putrajaya. – MalaysiaGazette
















