KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan subsidi diesel nelayan sekiranya berlaku penyalahgunaan.
Kerajaan juga menurut Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, akan mempertingkatkan dan memperkukuh kawal selia ke atas aktiviti bunkering serta mewujudkan Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 bagi Sabah dan Labuan; serta Sarawak.
Katanya, Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah dan Labuan serta Sarawak akan dipengerusikan secara bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Kerajaan Negeri.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri pula akan menjadi sekretariat kepada kedua-dua pasukan petugas khas berkenaan yang turut akan melibatkan agensi-agensi di peringkat negeri terbabit.
Selain itu katanya, kerajaan akan memperluas pelaksanaan SKDS melalui penggunaan fleet card untuk Sektor Pengangkutan Darat Barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Kerajaan hari ini amat prihatin terhadap ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
“Kita sedar bahawa situasi ini mempunyai potensi besar untuk menjejaskan rantaian bekalan dunia serta mencetuskan ketidakstabilan harga tenaga dan barangan keperluan utama,” katanya semasa taklimat krisis tenaga global, hari ini.
Namun begitu, Fadillah menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terkesan akibat gangguan bekalan.
Kerajaan menurut beliau telah memperkukuhkan kesiapsiagaan melalui langkah-langkah strategik dan bersepadu bagi memastikan keterjaminan bekalan di pasaran tempatan kekal terkawal.
Fadillah berkata, mesyuarat susulan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) hari ini turut bersetuju untu menetapkan agensi peneraju utama bagi sektor darat diterajui KPDN manakala sektor sempadan oleh PDRM dan sektor perairan di bawah APMM.
PDRM dan APMM kedua-duanya agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Tambahnya, beberapa syor strategik hasil daripada mesyuarat ini juga akan dikemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) secara berkala sebagai langkah tambahan memastikan kestabilan bekalan negara. -MalaysiaGazette
















