Nurul Islam Mohamed Yusoff
Nurul Islam Mohamed Yusoff.

KUALA LUMPUR – Kenaikan berterusan harga petrol dan diesel terus menjadi persoalan apabila terdapat dakwaan bahawa bekalan minyak semasa diperoleh dan diproses menggunakan kos sebelum berlakunya sebarang kenaikan global, namun harga jualan kepada pengguna tetap meningkat.

Menurut dakwaan Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Ir. Nurul Islam Mohamed Yusoff, penjelasan mengenai mekanisme harga automatik (APM) sering digunakan bagi mempertahankan kenaikan tersebut, namun tidak menjawab isu asas berkaitan kos sebenar bekalan sedia ada.

Katanya, kerajaan sepatutnya menjelaskan mengapa bahan api yang diperoleh pada harga lebih rendah sebelum ini dijual pada kadar lebih tinggi kepada rakyat.

“Saya mempersoalkan rasional penggunaan sistem APM dalam situasi berkenaan yang disifatkan sebagai alasan tidak memadai bagi menjelaskan kenaikan mendadak harga minyak.

“Penjelasan lebih telus adalah perlu agar rakyat memahami asas penentuan harga bahan api,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sebagai analogi, beliau menggambarkan situasi seperti peniaga yang telah menyediakan produk menggunakan kos lama, namun menaikkan harga jualan selepas berlaku kenaikan kos baharu, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pengeluaran semasa.

Tambahnya, kenyataan bahawa bekalan semasa dibeli pada harga lebih tinggi juga dilihat tidak selari dengan tindakan terdahulu yang tidak mengambil kira stok lama ketika harga lebih rendah.

Perkara itu, menurut beliau, menimbulkan persepsi bahawa pengguna menanggung beban yang tidak sepatutnya.

Ujarnya, kenaikan harga diesel khususnya dikatakan memberi kesan besar kepada rantaian ekonomi, termasuk peningkatan kos barangan dan perkhidmatan yang akhirnya ditanggung oleh rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa penjelasan menyeluruh dan konsisten daripada pihak berwajib bagi meredakan keresahan rakyat yang semakin meningkat berhubung isu kos sara hidup. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast