KUALA LUMPUR – Pelaksanaan konsep carpooling (kongsi kenderaan) dalam perkhidmatan e-hailing tanpa kawal selia yang ketat bakal mengundang kesan buruk kepada komuniti pemandu.
Persatuan Pemandu eHailing Utara (NeHDA) berkata, tanpa penyelarasan struktur komisen yang adil, pemandu terpaksa menanggung beban kerja yang lebih tinggi iaitu mengambil penumpang lebih ramai, namun dengan margin keuntungan yang semakin mengecil.
Tambahnya, ini ditambah dengan kenaikan kos penyelenggaraan kenderaan dan harga alat ganti yang kian meningkat.
Selain itu, ujarnya, membawa beberapa penumpang asing yang tidak dikenali dalam satu perjalanan bukan sahaja meningkatkan risiko keselamatan, malah menambah tekanan mental kepada pemandu dalam menguruskan logistik pengambilan dan penghantaran di lokasi yang berbeza-beza.
“NeHDA melihat saranan menteri akan menjadi “indah khabar dari rupa” sekiranya Operator E-Hailing (eHO) terus dibiarkan mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan algoritma harga.
“Kerajaan tidak boleh hanya memberi galakan tanpa penguatkuasaan agresif melalui Akta 872 bagi memastikan eHO tidak mengeksploitasi dasar ini untuk mengaut keuntungan atas titik peluh pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, bagi memastikan inisiatif itu memberi impak positif secara menyeluruh atau situasi menang-menang, NeHDA mendesak kerajaan agar menetapkan harga lantai yang adil.
Menurutnya, kerajaan mesti campur tangan dalam menetapkan harga lantai supaya pemandu tidak dibayar pada kadar yang tidak munasabah di bawah alasan “fleksibiliti”.
Selain itu, tambahnya, eHO perlu dipastikan telus dalam pembahagian komisen bagi setiap perjalanan carpooling dan lain-lain kaedah dengan mematuhi sepenuhnya garis panduan Akta 872 yang telah wartakan.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan perlu meneliti bantuan khusus seperti insentif pengurangan kadar premium insuran e-hailing atau rebet untuk pembelian alat ganti kenderaan kepada pemandu yang menyokong inisiatif hijau dan kongsi kenderaan itu.
“NeHDA memberi amaran bahawa tanpa mekanisme kawalan yang jelas, komuniti pemandu akan terus terhimpit di bawah tekanan ekonomi.
“Kami sedia untuk berdialog dengan pihak kementerian bagi memastikan suara akar umbi didengar sebelum sebarang dasar baharu dilaksanakan secara meluas,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dilaporkan menggalakkan syarikat e-hailing memperluaskan konsep ‘car pool’ kepada pelanggan mereka sebagai satu alternatif mengurangkan kos bahan api.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pendekatan itu membolehkan penumpang berkongsi perjalanan secara lebih efisien dengan kadar tambang lebih berpatutan. – MalaysiaGazette
















