KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada pada titik penting untuk beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pendekatan yang lebih strategik melalui pembangunan Bandar AI sebagai asas kepada aspirasi negara menjadi sebuah Negara AI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peralihan itu bukan sekadar penerapan teknologi baharu tetapi menuntut transformasi menyeluruh.
“Ini termasuklah cara kita merancang, mentadbir dan mengurus bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data.
“Usaha ini memerlukan ekosistem yang kukuh, merangkumi tadbir urus AI dan data yang selamat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti dan menyelaraskan pelaksanaan model Bandar AI untuk Malaysia.
Beliau juga menekankan mengenai infrastruktur digital yang berkapasiti tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan bagi menyokong inovasi secara bertanggungjawab.
“Mesyuarat turut bersetuju agar Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama dengan kerjasama rapat kementerian dan agensi berkaitan.
“Kerajaan akan terus memperkukuh sinergi ini bagi memastikan pelaksanaan berkesan dan berimpak tinggi,” katanya lagi.
Beliau berkata, ini penting demi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Negara AI yang berdaya saing di peringkat global. – MalaysiaGazette















