Ahmad Anwar Asyraf

JOHOR BAHRU – Operator bas pelancongan di Johor kini berdepan tekanan kos yang tinggi dan mengalami kesukaran untuk kekal beroperasi susulan harga diesel naik dua kali ganda.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Muar, Ahmad Anwar Asyraf berkata, ia merupakan kesan harga diesel di negara ini yang terus memuncak RM6.72 seliter, jauh berbeza dengan harga sebelum krisis di Asia Barat.

“Sebelum ini kos mengisi penuh tangki bas adalah sekitar RM700, kini meningkat melebihi RM1,400. Ini bermakna beban kos yang ditanggung pemain industri meningkat hampir dua kali ganda.

“Kenaikan berterusan juga menyukarkan mereka untuk memberikan sebut harga tetap kepada pelanggan, malah menanggung kerugian bagi tempahan yang telah dibuat lebih awal.

“Kenaikan berterusan akan menimbulkan impak serius kepada industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Johor melabur ratusan juta ringgit untuk memperkukuh sektor pelancongan bagi menyambut kedatangan Tahun Melawat Johor 2026.

Persoalannya, kata Ahmad Anwar, sejauh mana Johor mampu mencapai sasaran hasil pelancongan dalam keadaan kos industri terus meningkat.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan dilihat masih belum mengambil langkah konkrit manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memberi amaran terhadap sebarang pelarasan kadar tambang oleh industri.

Jelasnya, ia meletakkan operator dalam keadaan tersepit dengan kos semakin meningkat tetapi harga tidak boleh diselaraskan.

Katanya, jika keadaan tersebut berterusan tanpa intervensi menyeluruh, industri pelancongan berpotensi lumpuh dengan operator terpaksa mengecilkan operasi atau gulung tikar.

Begitu juga katanya, kos pakej pelancongan meningkat dan pulangan pelaburan pelancongan negeri merosot, sekali gus menjejaskan sasaran hasil Tahun Melawat Johor 2026.

Menurutnya, perkhidmatan bas dan van persiaran adalah tulang belakang kepada pelancong antarabangsa bermalam.

“Menteri Besar sendiri menyatakan purata perbelanjaan pelancong antarabangsa bermalam di Johor dianggarkan sekitar RM3,500 seorang, satu segmen yang bernilai tinggi.

“Satu bas penuh 40 penumpang boleh menjana pendapatan sekitar RM140,000, menunjukkan pentingnya operator bas dalam rantaian ekonomi pelancongan negeri,” katanya.

Sehubungan itu kerajaan Persekutuan perlu segera melaksanakan intervensi bersasar melalui sistem fleet card kepada mereka di samping memperkenalkan mekanisme harga siling sementara bagi menstabilkan kos operasi industri.

Di peringkat negeri pula, katanya, kerajaan Johor perlu segera menyediakan dana sokongan sementara kepada operator bagi memastikan kelangsungan operasi industri berkenaan.

Langkah-langkah itu penting bagi memastikan rantaian perkhidmatan pelancongan negeri tidak terjejas sementara menunggu penyelesaian dasar yang lebih holistik dilaksanakan di peringkat Persekutuan, katanya.

Tambahnya, pelancongan Johor tidak akan berkembang jika rantaian perkhidmatan asas khususnya operator bas persiaran terus terjejas dengan kenaikan kos bahan api yang tidak terkawal.

“Pelancongan bukan sekadar promosi dan pelaburan besar. Tanpa rantaian perkhidmatan asas yang stabil, keseluruhan ekosistem ini berisiko runtuh dari bawah bermula dengan kejatuhan operator bas persiaran,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast