Tangkap layar pemandu pangku wanita dalam bas dan memandu dalam keadaan berbahaya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memanggil pemandu bas ekpress yang didakwa mengendalikan kenderaan itu dengan memangku wanita di atas riba.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan siasatan segera sedang diambil oleh pihaknya sebaik video berkenaan mula tular.

“Kita telah mengenal pasti pemandu terbabit dan syarikat bas berkenaan. Siasatan segera dijalankan susulan video yang tular.

“Pemilik syarikat dan pemandu itu telah dipanggil untuk dirakam keterangan pagi ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk arahan lanjut sebaik siasatan selesai.

Dalam pada itu,  Muhammad Kifli turut mengingatkan semua pengguna jalan raya, khususnya pengendali kenderaan komersial, supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas.

“Perkara ini penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya serta mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan nyawa,” jelasnya.

Terdahulu, tular video memaparkan wanita berkenaan dilihat memegang stereng ketika duduk di riba pemandu, sewaktu bas sedang bergerak.

Satu lagi video berasingan menerusi kamera papan pemuka (dashcam) oleh kenderaan lain turut memaparkan bas sama dipandu secara berbahaya dengan menukar lorong secara tidak stabil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast