Rafizi Ramli dan Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR — Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli susulan dakwaan kononnya parti itu sedang mengatur Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pandan.

Menurut beliau, tindakan Rafizi membuat ramalan bahawa bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal menjadi calon PKR hanyalah provokasi politik yang tidak perlu diwujudkan.

“Rafizi membuat provokasi kononnya PKR mengatur pilihan raya kecil di Pandan. Dia meramalkan Tengku Zafrul akan menjadi calon PKR.

“Edah parlimen tiga tahun sudah pun berlalu (Disember 2025). Kalau PRK Pandan diadakan itu bermakna PKR paling banyak menyebabkan PRK terpaksa dibuat untuk selesai masalah dalaman parti itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad menegaskan, jika PRK Parlimen Pandan tetap diadakan, ia hanya akan mengulangi episod lama yang menurutnya membebankan wang pembayar cukai akibat kemelut dalaman parti.

Katanya, sejarah membuktikan beberapa PRK sebelum ini berpunca daripada percaturan politik PKR sendiri, termasuk PRK Permatang Pauh apabila Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu dikatakan mahu menubuhkan kerajaan pada 16 September.

“Ia gagal. Anwar tidak jadi PM. Duit pembayar cukai dibazirkan,” katanya.

Beliau turut mengimbas PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober 2018 selepas Anwar mendapat pengampunan penuh, apabila tindakan sama dibuat Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.

“Anwar masih tidak jadi PM. Duit pembayar cukai dibazirkan,” katanya lagi.

Mohd Puad turut menyentuh PRK DUN Kajang pada 23 Mac 2014 apabila Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor, namun keputusan Mahkamah Rayuan menggagalkan hasrat itu sebelum Wan Azizah bertanding.

“Sanggupkah PMX buat sekali lagi PRK di Parlimen Pandan hanya kerana perang saudara dalam PKR? Kenapa negara perlu diseret dengan membazirkan wang pembayar cukai?” soalnya.

Dalam satu podcast pada Jumaat, Rafizi mendakwa bahawa PKR sedang berusaha untuk mendesak supaya diadakan satu PRK di Parlimen Pandan, dengan merujuk kepada pelbagai desakan supaya beliau meletakkan jawatan susulan kritikannya terhadap kerajaan dan parti.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu turut mendakwa partinya sedang mengambil langkah untuk meletakkan Tengku Zafrul sebagai calon dalam PRK berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast