Antara 12 PATI yang ditahan Maritim Selangor.

KAJANG – Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di pesisir pantai Batu Laut, Pelabuhan Klang, semalam. 

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mereka yang berusia antara tiga hingga 39 tahun ditahan menerusi operasi bersepadu Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2 sekitar pukul 2.30 pagi.

Katanya, tangkapan tersebut dilaksanakan hasil maklumat risikan yang membawa kepada tindakan pantas menggerakkan Bot Pengawal 25 ke lokasi.

“Operasi itu melibatkan kejar buru di laut sebelum serbuan serentak dijalankan di darat dan perairan bagi mengekang cubaan kemasukan PATI melalui laluan tidak sah.

“Hasil pemeriksaan, kesemua ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Myanmar, dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar, tiga wanita warga Indonesia, tiga wanita warga Myanmar serta seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kereta yang digunakan PATI dirampas MARITIM Selangor.

Tambah beliau, kes terbabit disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas semua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam operasi itu, turut dirampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan oleh tekong darat dan kesemua tahanan dan kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menegaskan pihaknya komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast