KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Ampang dekat sini menetapkan 27 April ini untuk perkembangan kes anak penyanyi, Amir Ukay’s dan dua rakannya berhubung kes curi Ferrari di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang, dua tahun lalu.
Majistret Normaizan Rahim menetapkan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aizudin Radthuan memohon prosiding ditangguhkan ke tarikh lain.
Menurutnya, pendakwaan belum menerima rekod berhubung laporan polis yang difahamkan telah ditarik balik oleh pemilik kereta mewah itu terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Mereka ialah anak penyanyi terbabit, Mohd Aliff Naim Mohd Azmir, 40, dan dua rakannya, Norqyyum Zainori, 31, serta Nor Kamrulazli Muhamed Noor Husen.
“Kami mahu membuat semakan berkaitan penarikan laporan polis sebagai mana yang diberitahu kepada mahkamah pada sebutan kes lalu,” katanya.
Dalam prosiding, Mohd Aliff Naim diwakili peguam Muhamad Firdaus Jumaludin manakala Simran Kaur dan Wan Nur Afifah Che Bakar hadir bagi pihak Norqyyum sementara Nor Kamrulazli oleh Siti Syaerah Meor.
Mengikut pertuduhan, Norqyyum, Mohd Aliff Naim dan Nor Kamrulazli didakwa bersama-sama mencuri sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 milik seorang wanita berusia 55 tahun di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Hillview, Hulu Kelang pada pukul 11.08 pagi, 17 November 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semua lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Ferrari sama, dengan mengetahui bahawa kenderaan itu adalah harta curi pada tempat, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Muhamad Firdaus berkata, pemilik kenderaan berkenaan difahamkan telah menarik balik laporan polis terhadap semua tertuduh, semalam.
Bagaimanapun katanya, pihak pembelaan masih menunggu laporan rasmi daripada pihak polis.
“Pertikaian antara pengadu dan ketiga-tiga lelaki itu telah diselesaikan termasuk membuat permohonan maaf secara baik.
“Selepas ini laporan itu akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui wakil media selepas prosiding kes. – MalaysiaGazette
















