Jerome Powell. Photo AFP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump sekali lagi meningkatkan tekanan terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, dengan mengancam akan memecat ketua bank pusat itu jika beliau kekal melepasi tempoh mandatnya.

Tempoh Powell menerajui Rizab Persekutuan (Fed) berakhir pada 15 Mei.

Namun beliau boleh terus memegang jawatan sebagai pengerusi sekiranya pengganti belum disahkan.

Powell bulan lalu berkata, beliau tidak akan meninggalkan jawatan sebagai Gabenor Fed sehingga siasatan Jabatan Kehakiman terhadapnya “benar-benar selesai, dengan telus dan muktamad”.

Bagaimanapun, jarang berlaku bagi bekas Pengerusi Fed untuk kekal dalam lembaga selepas melepaskan jawatan utama.

Tempoh Powell sebagai Ahli Lembaga Gabenor Fed berakhir pada 31 Januari 2028.

“Saya terpaksa memecatnya,” kata Trump kepada Fox Business, jika Powell “tidak berundur mengikut masa”.

Presiden itu menambah: “Saya memang sudah lama mahu memecatnya”.

Trump sebelum ini berulang kali mengkritik Powell kerana tidak menurunkan kadar faedah dengan lebih agresif.

Pentadbiran Trump turut menyasarkan Fed di beberapa peringkat, termasuk melancarkan siasatan terhadap Powell berhubung lebihan kos pengubahsuaian bangunan bank tersebut serta cuba menyingkirkan seorang lagi gabenor Fed, Lisa Cook.

Ditanya sama ada beliau akan menggugurkan siasatan Jabatan Kehakiman terhadap Powell, Trump berkata: “Saya tidak bermain-main. Saya perlu tahu”.

Trump telah menamakan Kevin Warsh sebagai pengganti Powell, namun beliau perlu disahkan oleh Senat Amerika Syarikat sebelum memegang jawatan tersebut.

Warsh dijadual menghadiri sesi pengesahan di Jawatankuasa Perbankan Senat pada Selasa depan, namun berdepan cabaran apabila beberapa ahli perundangan mengkritik siasatan tersebut sebagai tekanan politik terhadap bank pusat.

Senator Thom Tillis, anggota Parti Republikan dan ahli jawatankuasa itu berikrar untuk menangguhkan pencalonan selagi siasatan belum diselesaikan.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, anggota Republikan dalam jawatankuasa tersebut sependapat bahawa Warsh adalah calon yang sesuai.

“Saya sangat optimistik Kevin Warsh akan menjadi pengerusi Fed tepat pada waktunya,” katanya.

Penasihat ekonomi Trump, Kevin Hassett pula berkata, kebuntuan itu akan diselesaikan, sambil menyatakan keyakinan tinggi bahawa perkara tersebut akan berlaku.

Namun, David Wessel dari Brookings Institution mempersoalkan motif rasional di sebalik lanjutan siasatan terhadap Powell jika ia melambatkan pelantikan Warsh.

Powell mula mengetuai Fed semasa pentadbiran pertama Trump pada 2018 dan dilantik semula ke jawatan itu di bawah Presiden Demokrat Joe Biden pada 2022. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast