Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi bergambar bersama wakil-wakil gabungan NGO dari Solidariti Masyarakat Malaysia selepas menerima sumbangan cek pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan dari Solidariti Masyarakat Malaysia kepada Kerajaan Iran di Pusat Kebudayaan Republik Iran, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 16 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 168 kontena bantuan kemanusiaan bakal dihantar ke Iran menerusi inisiatif Shajarah Tayyibah, sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap penderitaan yang dialami rakyat negara itu.

Majlis penyerahan cek sumbangan tersebut dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Kedutaan Republik Islam Iran, Malaysia dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan hari ini.

Duta Besar Iran, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, penghantaran bantuan itu mencerminkan hubungan erat serta keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib rakyat Iran.

“Ini bukan sekadar bantuan material, tetapi simbol kasih sayang dan solidariti rakyat Malaysia terhadap 168 kanak-kanak yang telah terkorban,” katanya dalam ucapan ringkas pada majlis itu.

Gambar yang memaparkan wajah 168 kanak-kanak yang syahid akibat daripada serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas sebuah sekolah di Iran, pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan dari Solidariti Masyarakat Malaysia kepada Kerajaan Iran di Pusat Kebudayaan Republik Iran, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 16 APRIL 2026.

Menurut beliau, jumlah 168 kontena yang dihantar mempunyai makna simbolik bagi memperingati 168 kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam konflik tersebut.

Katanya, setiap kontena dianggarkan bernilai RM40,000, menjadikan keseluruhan bantuan mencecah jutaan ringgit hasil sumbangan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Bantuan itu merangkumi keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan harian bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas.

Inisiatif Shajarah Tayyibah turut dilihat sebagai manifestasi semangat kemanusiaan sejagat, selain memperkukuh peranan Malaysia dalam menyuarakan solidariti terhadap krisis antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast