SHAH ALAM – Bekalan daging babi di Selangor cukup meskipun hampir semua ladang telah ditutup di negeri itu, susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu kini bergantung sepenuhnya dengan bekalan yang diimport dari negeri lain.
“Saya percaya hal itu telah berlaku dan daripada laporan setakat ini yang saya dapat ketika musim perayaan, bekalannya mencukupi walaupun kita telah menutup hampir kesemua (ladang),” katanya dalam sidang media di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri memuktamadkan keputusan tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di negeri itu, selari dengan titah Sultan Selangor sebelum ini.
Terdahulu, isu ladang babi menjadi pertikaian di Selangor selepas kerajaan negeri bercadang melaksanakan penternakan babi secara moden.
Namun, rancangan itu mengundang pelbagai kekhuatiran yang akhirnya membawa kepada titah Sultan Selangor.
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa penternakan babi tidak wajar diteruskan sekiranya ia dibangunkan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan serta bantahan penduduk. -MalaysiaGazette
















