KLUANG – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mencekup satu pasangan muda yang sedang berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di bandar ini semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pasangan berkenaan ditangkap dalam pemeriksaan berkala pada pukul 1.30 pagi.
“Penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan dua minit kemudian dibuka sedikit oleh seorang lelaki. Lelaki itu hanya menjenguk dan menampakkan kepala sedikit lalu cuba menutup semula pintu apabila menyedari kelibat penguat kuasa JAINJ.
“Bagaimanapun, penguat kuasa berjaya halang lelaki itu daripada menutup pintu dan masuk bilik. Lelaki itu hanya memakai seluar dalam dan berlenggeng,” maklum JAINJ dalam satu kenyataan.
Menurut JAINJ, pemeriksaan mendapati di atas katil ada orang dalam selimut tetapi tidak mengetahui lelaki atau wanita.
Apabila ditanya siapa dalam selimut tersebut, lelaki itu tidak menjawab dan melihat ada baju wanita atas kerusi sebelum mendapati individu yang berselimut itu merupakan seorang wanita.
Jelas JAINJ, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berkenaan tidak berpakaian sebelum berjalan dengan tubuh badan dibalut selimut pergi ke tandas untuk mengenakan pakaian.
“Lelaki pula diminta pakai baju dan seluar. Seterusnya memakai seluar jean potong separuh lutut dan t-shirt. Setelah wanita lengkap berpakaian, barulah penguat kuasa menemuramah dua orang ini,” ujar JAINJ.
Mereka berdua kelihatan takut dan merayu simpati serta mengaku hanya berdua-duaan bukan mahram atau suami isteri.
Lelaki berkenaan berumur 23 tahun dan masih bujang, wanita pula berusia 19 tahun dan atas kertas masih belum berkahwin.
Mereka datang dari sebuah daerah lain menaiki kereta sekitar 50 kilometer dari daerah ini untuk bersiar-siar, makan bersama-sama sebelum ke bilik hotel.
“Apabila ditanya kenapa mereka bermalam di hotel, mereka kata tak sempat balik kerana sudah malam. Pasangan itu kemudian hanyut dalam gelora nafsu.
“Bermula daripada aksi ringan-ringan di luar, akhirnya menyambung aksi cekoh dan buka pakaian di hotel pula,” tambah JAINJ.
Pasangan itu ditahan atas kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.- MalaysiaGazette
















