KUALA LUMPUR – Persiapan Operasi Haji Madinah bagi musim 1447 Hijrah kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menerima seramai 31,600 jemaah haji Malaysia.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 75 petugas telah tiba lebih awal di Madinah pada 12 April lalu bagi memulakan gerak kerja operasi yang diketuai Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah.

Katanya, daripada jumlah petugas berkenaan, 40 orang merupakan petugas kebajikan manakala 35 lagi terdiri daripada petugas perubatan bagi memastikan aspek kebajikan serta kesihatan jemaah sentiasa terpelihara.
Bagi musim ini, ujarnya, penempatan jemaah haji Malaysia di Madinah melibatkan tiga zon utama iaitu Hotel Emaar Royal (Zon 1), Hotel Anwar Al Madinah Movenpick (Zon 2) dan Hotel Emaar Elite (Zon 3), dengan hotel terakhir merupakan bangunan baharu yang terletak kira-kira 150 meter dari Masjid Nabawi.
Sementara itu, jelasnya, Pusat Pentadbiran Operasi Madinah kini beroperasi di lokasi baharu di Hotel Zaha Taiba yang dilengkapi kemudahan moden termasuk dapur dan restoran yang lebih selesa.
“Bangunan pentadbiran tersebut menempatkan pelbagai unit penting seperti Pejabat Pengarah Operasi Madinah, Pejabat Operasi Perubatan, Unit Pentadbiran, Bilik Maklumat Operasi, Unit Alokasi, Unit Pengendalian, Unit Kewangan serta Unit Pengelola Jemaah Haji (PJH),” katanya.
TH turut memaklumkan, kemudahan lebih lengkap serta lokasi strategik yang berhampiran Masjid Nabawi dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan operasi, sekali gus memastikan kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette
















