Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mahathar Abdul Wahad, ketika berucap semasa Majlis Pembukaan Kongres Dunia WFH 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Kongres Persekutuan Hemofilia Sedunia (WFH) 2026 di ibu negara mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara berpotensi dalam kepakaran rawatannya di peringkat global.

Persidangan terbesar komuniti masalah pendarahan dunia itu berlangsung selama empat hari bermula 19 hingga 22 April lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur telah menghimpunkan lebih 1,900 peserta dari seluruh dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abdul Wahab berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah mencerminkan perkembangan positif negara dalam rawatan hemofilia serta sokongan dasar kerajaan yang konsisten.

Menurutnya, pendekatan rawatan komprehensif melibatkan pelbagai bidang seperti hematologi, ortopedik, farmasi dan fisioterapi menjadi antara faktor utama yang meyakinkan komuniti antarabangsa.

“KKM amat mengalu-alukan para penggiat industri untuk membawa ujian klinikal terapi gen ke Malaysia, bukan sahaja menambah kepakaran perubatan tempatan dalam bidang rawatan inovatif tersebut, malah memudahkan akses kepada terapi dan rawatan baharu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan terdapat lebih 1,000 penghidap hemofilia di Malaysia dengan 83 peratus daripadanya menghidap hemofilia A dan 16.7 peratus hemofilia B selain 140 kes penyakit von Willebrand serta 91 kes gangguan pendarahan lain.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Hemofilia Malaysia (HSM), Edwin Goh berkata, penganjuran kongres tersebut di Kuala Lumpur memberi makna besar kepada komuniti pesakit di Asia Tenggara yang masih berdepan cabaran dalam aspek diagnosis dan akses rawatan.

Presiden Pertubuhan Hemofilia Malaysia (HSM), Edwin Goh, ketika berucap semasa Majlis Pembukaan Kongres Dunia WFH 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

“Tema Hari Hemofilia Sedunia tahun ini, Diagnosis: Langkah Pertama ke arah penjagaan amat relevan kerana tanpa diagnosis yang tepat, pesakit tidak akan mendapat rawatan sewajarnya,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Presiden WFH, Cesar Garrido menegaskan, kepentingan jaringan global khususnya di rantau Asia bagi meningkatkan kadar diagnosis penyakit tersebut.

Katanya, kerjasama antara organisasi antarabangsa, kumpulan sokongan pesakit serta kerajaan amat penting dalam memastikan akses rawatan lebih saksama kepada komuniti yang terjejas.

Kongres dwitahunan itu menjadi platform penting bagi pertukaran ilmu, penyelidikan serta perkembangan terkini dalam rawatan hemofilia, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam landskap kesihatan global. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast